Sabtu, 6 September 2014

Orang baru kenal PAS rasa isu Selangor sudah berat

HARAKAHDAILY


MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan mereka yang baru mengenali dan menyertai PAS merasakan gelombang yang berlaku kini sangat teruk.

“Kepada mereka (ahli) yang baru menyertai PAS merasakan gelombang yang berlaku sehari dua ini sangat teruk sehingga ada yang ‘mabuk laut’ dan pening,” ujarnya ketika berucap pada majlis Dailog dan Penjelasan Isu Terkini Bersama Presiden PAS di Dewan Tok Guru, Rusila petang semalam. (Video)

Beliau berkata, apa yang berlaku sehari dua ini adalah sedikit sangat tetapi kepada mereka yang baru hendak belajar politik merasakannya sudah berat.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu lagi, kemelut yang berlaku di Selangor bukan masalah PAS.

"Masalah yang dibuat oleh rakan kita, yang kita terpaksa menolong memikulnya.

“Kita telah membuat keputusan untuk menyerahkan kerajaan negeri Selangor kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Rakan kita dalam Pakatan Rakyat dan telah berjaya memerintah satu penggal, kerajaan yang bersih hingga tidak ada ruang bagi kerajaan pusat untuk menghentam kerana tidak ada kesilapan dan kesalahan,” jelasnya pada majlis yang dianjurkan PAS Negeri Terengganu itu.

Justeru, beliau mengingatkan ahli PAS berwaspada dengan ‘gelombang’ politik yang sedang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor agar tidak mengambil tindakan ‘bodoh’ dan merosakkan ‘bahtera PAS’. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: