Jumaat, 5 September 2014

Orang Asli tuntut geran tanah adat di Temerloh

MALAYSIAKINI



 


Warga Orang Asli di dua penempatan di Temerloh menuntut agar kerajaan mengeluarkan geran kelompok kepada mereka bagi melindungi kawasan terbabit daripada pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab.

Aktivis Orang Asli, Shafie Dris berkata langkah itu perlu disegerakan ekoran kegiatan satu syarikat pertanian yang didakwa menceroboh tanah adat mereka untuk mengusahakan tanaman pisang.

Beliau yang giat mendokumentasi tanah milik Orang Asli berkata, kawasan seluas 350 ekar yang didakwa diceroboh itu mengandungi perkuburan lama dan makam nenek moyang mereka.

Katanya, geran tersebut akan dapat memberi perlindungan kerana perbincangan Tok Batin mereka semalam dengan Pegawai Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Daerah Temerloh menunjukkan bahawa tanah tersebut telah diserahkan kepada Felda.

Ia menjawab teka-teki sebelum ini ketika mereka berdepan dengan pengusaha tanah berkenaan dalam kejadian pada akhir Ogos lalu.

Dalam kejadian itu mereka diberitahu oleh pemaju bahawa syarikat berkenaan mendapat tanah berkenaan daripada Felda, katanya.

“(Kami) menuntut agar kerajaan negeri dan pusat... agar tanah ini diiktiraf atau diwartakan mengikut pelan komuniti berdasarkan bukti yang ditunjukkan.

“...Iktiraf kawasan ini sebagai tanah adat Orang Asli berbentuk geran secara komunal untuk Orang Asli Kampung Paya Pelong dan Paya Rekoh bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” kata Shafie dalam kenyataannya.

Shafie turut memuatkan gambar di

Facebook
, menunjukkan aktiviti jentera berat melakukan kerja-kerja tanah di kawasan yang dimaksudkan.

Pembikin filem dokumentari itu turut memuatkan gambar dokumen, didakwa menunjukkan serahan tanah tersebut oleh Felda kepada syarikat terbabit.

Selain itu, beliau juga menyiarkan gambar menunjukkan operasi penguatkuasa PTG ke tapak kontroversi itu.

Tambahnya lagi, beliau kesal kerana Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri memutuskan bahawa tuntutan masyarakat Orang Asli ke atas tanah berkenaan adalah berasas.

Beliau merujuk kepada kenyataan Adnan pada Oktober 2012, selepas mereka menyerahkan memorandum untuk menuntut hak ke atas tanah adat berkenaan.

Tiada ulasan: