Sabtu, 6 September 2014

Nik Aziz mahu PAS bertanding di Pengkalan Kubor

MALAYSIAKINI


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan calon dari partinya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor 25 September ini.
  
"Saya orang PAS, saya nak PAS lah (bertanding)," katanya ketika ditanya calon dari parti manakah dalam kalangan Pakatan Rakyat yang beliau mahukan bertanding dalam PRK itu.
  
Bekas menteri besar Kelantan itu berkata bagaimanapun keputusan mengenai calon yang bertanding akan ditentukan oleh jawatankuasa parti peringkat negeri tidak lama lagi.
  
"Kalau tanya, hati saya nak PAS lah tetapi PKR macam mana, tak tahulah semua terserah, saya serahkan kepada jawatankuasa parti peringkat negeri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di Kota Bharu hari ini.
  
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari BN, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos  lepas.
  
Dalam pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN  mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.- Bernama

Tiada ulasan: