Jumaat, 5 September 2014

Netizen Bikin Kecoh Kononnya MH370 Ditemui


MSTAR ONLINE



Antara maklumat palsu berhubung penemuan MH370 yang disebarkan di Twitter
.
 
PETALING JAYA: Selepas hampir lima bulan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dilaporkan hilang, tiba-tiba pada Khamis, netizen atau pengguna Internet kembali kecoh dengan dakwaan kononnya pesawat itu ditemui.

Menerusi pelbagai medium laman sosial termasuk aplikasi Whatsapp, penyebar maklumat itu mendakwa MH370 ditemui di kawasan Pulau Perak di Selat Melaka kira-kira pukul 6.50 petang Rabu.

Bagaimanapun hasil semakan, maklumat berkenaan ternyata palsu dan pernah disebarkan sebelum ini pada 13 Mac lalu iaitu lima hari selepas pesawat itu dilaporkan hilang.


Sekitar tengah hari Khamis, pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama Immia (@adiyusimranmia) memuat naik posting yang menyebut tentang penemuan MH370.

Namun beberapa netizen lain menyelar tindakan penyebar maklumat 'kitar semula' itu kerana menyalahgunakan media sosial untuk mencari perhatian.

Malah penyebar maklumat palsu itu turut dikecam kerana tidak sensitif dengan kesedihan yang dialami keluarga mangsa MH370.


Sebelum ini, maklumat yang sama pernah dinafikan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud kononnya MH370 dikesan berada dekat kawasan Pulau Perak di Selat Melaka.

MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777 itu dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.

Pesawat malang itu dinaiki 239 penumpang termasuk 12 kru hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Tiada ulasan: