Khamis, 4 September 2014

MyWatch tuntut Zahid jelaskan kad KDN palsu

 
Mohd Shamsul dibebaskan dengan arahan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Alor Gajah.
R._Sri_Sanjeevan
PETALING JAYA: Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch), R.Sri Sanjeevan menyatakan bahawa pihaknya menuntut agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr.Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan berkenaan salahlaku dua anak buahnya.

Menurutnya, pada 31 Ogos, Polis Cawangan Khas IPD Alor Gajah Melaka telah menahan seorang lelaki bernama Mohd Shamsul Azren Atan kerana memiliki kad kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang palsu.

Jelasnya, kad kuasa tersebut menyatakan bahawa Mohd Shamsul merupakan seorang perisik KDN.
“Hasil siasatan polis, kad tersebut adalah palsu kerana rupa bentuk kad tersebut berlainan dari yang asli dan tiada nombor siri tertera. Siasatan juga mendapati Mohd Shamsul hanyalah bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah hotel di Melaka,” ujarnya dalam satu kenyataan media kepada FMT.

Jelasnya lagi, Mohd Shamsul turut mengaku bahawa beliau memperolehi kad tersebut daripada Mohd Azrul Azli Amer Hamzah yang juga merupakan Pegawai Khas kepada Zahid.

“Siasatan lanjut mendapati Mohd Shamsul dan Mohd Azrul kedua-duanya merupakan anak saudara kepada Zahid di sebelah isterinya,” katanya.

Setelah itu, Mohd Shamsul dibebaskan dengan arahan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Alor Gajah.

Di sini, pihak MyWatch mempersoalkan pembebasan Mohd Shamsul sedangkan beliau melakukan jenayah berat dengan menyamar sebagai perisik KDN.

“MyWatch menggesa siasatan yang telus dan adil dijalankan terhadap Mohd Azrul yang menyalahgunakan kuasanya sebagai Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri dengan mengeluarkan kad kuasa palsu.

Sanjeevan juga akan melakukan satu laporan rasmi kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Menteri Dalam Negeri dan Pegawai Khas-nya itu.

“Sebelum mahu menangkap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) lebih baik tangkap dahulu anak buahnya,” katanya.

Sebelum ini, telah tersebar di akhbar dan laman sosial bahawa seorang lelaki dipercayai anak saudara kepada isteri orang kenamaan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan kerana disyaki memiliki kad kuasa sebagai perisik Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata lelaki berumur 30 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

“Lelaki terbabit ditahan susulan laporan dibuat seorang anggota polis di Balai Polis Bandar Hilir pada 5.30 petang semalam mengenai tindakan suspek yang didakwa menyamar sebagai penjawat awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya berdasarkan laporan anggota polis berusia 43 tahun tersebut, lelaki terbabit menunjukkan kad kuasa berkenaan bagi mengelak pemeriksaan dalam satu serbuan bersepadu di sebuah pusat hiburan di Melaka pada 30 Ogos lepas.

Tiada ulasan: