Rabu, 17 September 2014

Muktamar Pemuda: Lima usul dibahas, dua diterima

MUHAMMAD FAIZAL


KOTA TINGGI: Sebanyak tujuh usul diterima pada Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-55 pada kali ini yang berlangsung di Dewan Choon Moi.

Daripada tujuh usul tersebut dua darinya diterima tanpa dibahas iaitu usul dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Ketereh yang meminta semua pihak dalam Pemuda PAS dipelbagai peringkat memberi sokongan terbuka dan berdiri dibelakang kepimpinan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu usul daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh turut diterima tanpa bahas yang memberi sokongan dan mandat kepada Majlis Syura Ulama untuk mengkaji dan membuat penilaian semula terhadap Tahlul Siyasi ini sama ada peringkat ini menguntungkan atau merugikan PAS dan Islam.

Sementara itu lima usul akan dibahas membabitkan soal organisasi, antaranya usul daripada Dewan Pemuda PAS Sri Gading yang meminta agar tindakan tegas diambil Jawatankuasa tertib PAS Pusat terhadap pelaku-pelaku displin di dalam PAS.

Exco Pemuda PAS Malaysia turut mengusulkan agar menginstitusi pemikiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaras dengan perlantikan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengiktirafan kepada ilmu dan usaha beliau menyelesaikan konflik dunia.

Pemuda PAS Malaysia berpendapat dengan pengiktirafan ini menggesa Kerajaan Malaysia memberi kemudahan untuk menwujudkan sebuah institusi yang mempromisikan idea dan pemikiran Tuan Guru Abdul Hadi sebagaimana pengiktirafan dan kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Qatar kepada Dr Yusuf al-Qardhawi.

Jelas Pemuda PAS lagi, jika dalam waktu tertentu kerajaan tidak diberikan kemudahan ini, Pemuda mendesak agar mana-mana negeri di bawah Pakatan Rakyat melaksanakan kehendak tersebut.

Dalam pada itu di bawah usul politik, Exco Pemuda PAS Malaysia turut mengusulkan tentang pemilikan hartanah yang mengecam tindakan kerajaan membuka ruang kepada warga negara asing untuk memiliki hartanah dalam negara menyebabkan anak-anak tempatan hilang kelayakan untuk memiliki hartanah tersebut.

Tindakan pengecualian Wilayah Iskandar di Johor daripada dikenakan had minima harga hartanah yang  boleh dimiliki oleh warganegara asing menyebabkan sekitar 80 peratus hartanah di kawasan tersebut dimiliki oleh warganegara asing.

Pemuda PAS Malaysia mengusulkan supaya Menteri Besar Johor meletakkan jawatan kerana bertanggungjawab ke atas hilangnya hartanah bernilai tinggi di negeri itu kepada warganegara asing.

Dewan Pemuda PAS Sabah yang turut mengusulkan Akta 750 atau Akta Wilayah Laut yang diluluskan pada 18 Julai 2012, yang mana akta ini telah digunakan secara senjata untuk mengambil hak-hak negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Sabah mengusulkan supaya Akta ini ditolak oleh kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dalam sidang dun mereka dan mengusulkan ke parlimen bahawa Akta ini tidak memenuhi peruntukan Artikel 2 dan 76 Perlembagaan Persekutuan.

Usul yang terakhir dibawa Exco Pemuda PAS Malaysia dalam usul agama yang menginsafi kejadian pesawat MAS MH17 yang telah ditembak jatuh dan kehilangan MH370 sebagai pengajaran kepada rakyat negara ini.

Melalui usul tersebut Pemuda PAS mengharapkan kerajaan dan pengurusan MAS memberi kebenaran dan kemestian kepada pramugari MAS untuk berpakaian menutup aurat sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara lain. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: