Rabu, 10 September 2014

MMKN sumbang 763 lembu sempena Hari Raya Aidiladha

 
Majlis penyerahan lembu-lembu korban kepada pegawai-pegawai daerah akan diadakan pada 18 September ini di perkarangan Masjid Negeri di Shah Alam


lembu


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 763 lembu bersempena Hari Raya Aidiladha tahun ini untuk diagihkan ke seluruh negeri.

Menurutnya, sumbangan bernilai hampir RM2.6 juta tersebut adalah sumbangan daripada tujuh anak syarikat kerajaan negeri.

“Antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Worldwide Holding Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Menteri Besar Selangor Incorporated dan Yayasan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, majlis penyerahan lembu-lembu korban kepada pegawai-pegawai daerah akan diadakan pada 18 September ini di perkarangan Masjid Negeri di Shah Alam.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju melantik PKSP secara terus sebagai pembekal lembu-lembu korban ini tanpa menggunakan orang tengah,” jelasnya.

Katanya, korban ini juga akan disumbangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, Exco, sekolah tahfiz, sekolah pondok dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Selangor.

Turut mendapat sumbangan adalah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PPRT di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, PPRT di bawah Majlis Agama Islam Selangor, Orang Asli dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Tiada ulasan: