Khamis, 4 September 2014

MIC, MCA dan Gerakan perlu beri kata dua jika Zahid kekal dalam kabinet

Kulasegaran

Roketkini.com


IPOH, : Menteri kabinet dari parti MIC, MCA, dan Gerakan perlu memberi kata dua untuk meletakkan jawatan jika Perdana Menteri masih teragak-agak untuk memecat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kulasegaran berkata, tiada tempat bagi menteri seperti Zahid, yang suka mengapi-apikan sentimen dengan menghentam orang bukan-Melayu dalam negara majmuk seperti Malaysia.

“Jika Perdana Menteri serius dengan konsep 1Malaysia, beliau mesti memecat Zahid daripada Kabinet.

“Dan jika beliau tidak bersedia, menteri dari MIC, MCA, dan Gerakan perlu memberi kata dua kepadanya – ‘sudah cukup, sama ada Zahid pergi, atau kami yang meletakkan jawatan’,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika merasmikan mesyuarat Umno Segambut 1 September lalu, Zahid dilaporkan berkata orang Melayu menerima padahnya akibat ‘terlalu baik’ dengan masyarakat bukan-Melayu.

The Sun Daily memetik kenyataan Zahid sebagai berkata, masyarakat bukan-Melayu semakin angkuh dan menghina bumiputera, Raja-raja Melayu dan Islam – senjata utama yang sering digunakan Umno untuk mendapatkan sokongan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata lagi, kenyataan terbaru itu mengesahkan hakikat bahawa Zahid sememangnya tidak layak memegang jawatan menteri.

Malah, Zahid ketika kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan Mei lalu berkata, hanya masyarakat Cina yang akan gembira jika calon BN Datuk Mah Siew Keong kalah, dengan alasan mereka sudah kaya dan tidak bersyukur.

“Tiada bezanya perangai Zahid itu dengan individu dan NGO ekstrem yang sering mengeluarkan kenyataan berbahaya dan provokasi untuk mencetuskan kebencian antara kaum,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: