MALAYSIAKINI
Karangan ini saya tulis pada pagi ulang tahun ke-57 Kemerdekaan Malaysia
(1957-2014). Saya bersyukur kerana dapat menikmati kemerdekaan tanah
air ini. Untuk enam tahun, bermula dari detik kelahiran, saya hidup dan
bernafas sebagai anak tanah jajahan Inggeris.
Dua hari lepas pada 29 Ogos 2014 saya disiasat oleh polis di IbuPejabat
Polis Shah Alam, Selangor di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta
Nombor 15). Saya bersyukur kerana saya belum dituduh di Mahkamah dan
dibebaskan pada petang Jumaat tersebut dengan dijamin oleh seorang
sahabat. Jika tidak, saya akan terkurung pada hari kemerdekaan ini di
lokap polis Shah Alam memandangkan cuti umum panjang dan mahkamah hanya
akan bersidang di Selangor pada Selasa 2 September.
Pada tahun hadapan 2015 bersempena ulang tahun Kemerdekaan ke 58, saya
berharap undang-undang zalim Akta Hasutan 1948 ini dimansuhkan. Bukan
dipinda-pinda tetapi dimansuhkan sama sekali. Akta Hasutan ini tidak
sesuai lagi dengan Malaysia yang ingin bergerak ke hadapan di pentas
global sebagai sebuah negara moden, demokratik dan menjunjung prinsip
kebebasan serta keadilan seperti yang disuarakan di dalam Perisytiharan
Kemerdekaan Tahun 1957 oleh perdana menteri kita yang pertama Tunku
Abdul Rahman.
Banyak sebab mengapa Akta Hasutan 1948 ini perlu dihapuskan. Saya
bermula dengan sebab yang pertama. Ia adalah kerana Akta ini bukan
digubal oleh Malaysia yang merdeka di Parlimen Malaysia oleh kerana
tuntutan rakyat Malaysia. Tidak sama sekali. Akta Hasutan tersebut telah
digubal dan diluluskan sebagai undang-undang oleh penjajah Inggeris di
Parlimen Inggeris sembilan tahun sebelum Malaysia (Malaya) merdeka.
Akta Hasutan 1948 tersebut berkuatkuasa di bumi Malaysia merdeka sampai
kini sebagai satu warisan tinggalan penjajahan Inggeris, walaupun telah
lebih setengah kurun tanah air kita bebas dari belenggu penjajahan.
Persoalan pertama dari perspektif sejarah mengapa penjajah Inggeris
menggubal, meluluskan dan menguatkuasakan Akta Hasutan 1948 ke atas
tanah jajahannya pada waktu itu bernama Malaya?
Kebimbangan British
Kita lihat tahun 1948 adalah satu era di mana keruntuhan empayar
Inggeris bermula selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Indonesia merdeka
dengaan revolusi pada tahun 1945 dan menjadikaan negara kepulauan Melayu
dengan penduduk majoriti beragama Islam itu sebuah negara republik.
Revolusi Kemerdekaan Republik Indonesia berjalan seiring dengan revolusi
sosial yang menyaksikan tumbang dan tersingkirnya institusi raja.
Indonesia mengisytiharkan merdeka dan penjajah Belanda tidak berupaya
untuk menjajah kembali dalam apa bentuk pun. Inggeris melihat dan
belajar dari apa yang berlaku di Indonesia.
Pada tahun 1948 tanah jajahan Inggeris yang terbesar di benua India
tidak dapat lagi Inggeris pertahankan. India dan Paksitan sama-sama
merdeka serentak dari Inggeris dan masing-masing mengisytiharkaan
negara masing sebagai sebuah republik. Sistem feudal beraja yang
terkenal di India satu waktu dulu pupus bersama munculnya negara India
yang merdeka dan negara Islam Pakistan yang merdeka.
Kembali di Malaya pada waktu itu. Pada tahun 1947 sebuah pertubuhan
politik Melayu yang anti-penjajah bernama Angkatan Pemuda Insaf (API)
yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam telah mengeluarkan satu perisytiharan
politik secara bertulis dalam sebuah buku yang bernama Testamen API
yang mengisytiharkan cogan kata “Merdeka Dengan Darah!”. Ini amat
membimbangkan Inggeris. Pertubuhan API diharamkan selepas itu pada tahun
1947 juga.
Inggeris takut rakyat Malaya khususnya orang-orang Melayu akan terikut
sentimen rakyat Indonesia yang melancarkan revolusi kemerdekaan dan
revolusi sosial menumbangkan raja-raja bagi menubuhkan sebuah kerajaan
republik di Malaya.
Kebangkitan gerakan kemerdekaan
Pada tahun-tahun sekitar 1946 -1948 kesedaran politik rakyat Malaya
terhadap perjuangan untuk merdeka dari penjajahan Inggeris begitu meluas
terutama di kalangan orang-orang Melayu. Inggeris amat menyedari bahawa
kuasa penjajahan Inggeris di Malaya pada waktu itu amat bergantung
dengan kerjasama sembilan orang raja-raja Melayu.
Raja-raja Melayu tersebut pun sama menyedari bahawa nasib mereka juga
bergantung dengan kerjasama serta naungan penjajah Inggeris ke atas
mereka. Banyak raja-raja Melayu yang bertakhta pada waktu itu diangkat
ke takhta atas kerjasama Inggeris seperti apa yang berlaku antaranya di
Perak, Terengganu dan Johor terutamanya.
Di Johor, raja yang berketurunan dari Kesultanan Melayu Melaka
digulingkan oleh Inggeris dan penjajah itu kemudian mengangkat orang
biasa dan pendatang yang bergelar Temenggong menjadi Sultan di Johor.
Raja baru tajaan Inggeris itu, diberi gelaran Sir oleh Inggeris dan
dipanggil dengan panggilan hebat sebagai “Maharaja”; dan keturunan itu
berkuasa hingga sekarang.
Inggeris amat bimbang apabila pada kongres khas pertubuhan politik dan
sosial Melayu pada tahun 1946 di Bangunan Kelab Sulaiman Kampung Baru
Kuala Lumpur diadakan bagi menentang gagasan Malayan Union tajaan
Inggeris.
Pertubuhan seperti API, Pertubuhan kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),
Seberkas dari Kedah dan Pertubuhan Melayu Johor pimpinan Datuk Onn
Jaafar, antaranya telah bergabung dan menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu (PERKEMBAR atau Umno dalam bahasa Inggeris) pada tahun
1946 itu.
Sikap golongan bangsawan
Tetapi gabungan ini tidak kekal lama. Datuk Onn Jaafar tidak berminat
pada waktu itu untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya. Beliau hanya
berminat untuk memperjuangkan institusi raja-raja Melayu dengan slogan
“Hidup Melayu!”. Manakala API dan PKMM tegas dengan cita-cita
memperjuangkan kemerdekaan Malaya dengan slogan mereka “Merdeka!” oleh
PKMM dan “Merdeka Dengan Darah!” oleh API.
Dalam senario seperti ini di Malaya pada waktu itu maka Akta Hasutan
1948 dikuatkuasakan dengan Seksyen 4 menyenaraikan kesalahan yang
dianggap menghasut kerana menghina raja-
raja.
Akta Hasutan 1948 tersebut digunakan oleh Inggeris supaya khususnya
orang-orang Melayu tidak menentang raja-raja mereka waktu itu yang tidak
berminat dengan perjuangan rakyat biasa untuk merdeka. Raja-raja dan
golongan bangsawan leka dengan dibuai kemewahan dan kesenangan oleh
penjajah Inggeris sehingga mereka sendiri mencemuh serta memperlekehkan
perjuangan rakyat untuk merdeka.
Sultan Johor sebagai contoh, pada waktu itu sanggup menyatakan sesuatu
yang mengguris hati rakyat hinga kini dengan kata-kata : “Nak buat jarum
pun tak tahu; Ada hati hendak merdeka?”.
Sikap raja-raja Melayu seperti ini amat disenangi oleh Inggeris. Catatan
rekod menunjukkan Johor di bawah Sultan yang pro-Inggeris itu merupakan
negeri yang terakhir menyertai Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)
sebelum merdeka.
Inggeris menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menangkap pemimpin-pemimpin
Melayu yang tulen anti-penjajah dan menakut-nakutkan pemimpin-pemimpin
Umno waktu itu supaya perjuangaan mereka berkisar kepada “Hidup Melayu!”
sahaja, bukannya perjuangan untuk menghalau Inggeris dari bumi Malaya
waktu itu seperti perjuangan API dan PKMM.
Tindakan keras
Pada tahun 1948 juga penjajah Inggeris mengsiytiharkaan darurat. Lebih
seribu orang pemimpin-pemimpin politik, dan kesatuan sekerja yang
menentang Inggeris ditangkap, termasuk antaranya Ahmad Boestamam
pemimpin API, Dr Burhanuddin Al-Helmy pemimpin PKMM dan Dr Ishak Hj
Muhammad (Pak Sako).
Parti Komunis Malaya (PKM) juga diharamkan dan ramai pemimpin serta
kader-kader PKM ditahan. Hal yang sama sedang berlaku sekarang. Selepas
57 tahun merdeka kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh Umno/BN dengan
mandat undi minoriti 47% sahaja kini bersandar tampuk kekuasaannya pada
sokongan 10 orang raja-raja Melayu termasuk (Yang di-Pertuan Agong) dan
Akta Hasutan 1948.
Begitu juga 10 orang raja-raja Melayu yang menyedari di dunia moden ini
di mana di seluruh dunia hanya tinggal 25 orang raja-raja sahaja dan 10
orang daripadanya berada di Malaysia, maka mereka juga bersandar kepada
sokongan Umno/BN untuk terus duduk di singgahsana masing-masing.
Pendek kata antara Umno/BN dan institusi feudal raja-raja Melayu di
Malaysia kini mereka saling sandar menyandar, sokong-menyokong untuk
kelangsungan hidup masing-masing di tengah-tengah kebangkitan rakyat
khususnya generasi muda yang memetik kata-kata hikmat di dalam
Perisytiharan Kemerdekaan 1957 dengan laungan “Merdeka” sebanyak tujuh
kali itu bahawa Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (Malaysia) merdeka
adalah untuk memenuhi impian dan cita-cita bagi mewujudkan sebuah negara
yang adil dan bebas.
Kesimpulannya sebuah negara Malaysia yang adil dan bebas adalah Malaysia
yang hidup bersama rakyatnya tanpa Akta Hasutan 1948 yang lapuk dan
zalim.
HASSAN KARIM adalah naib pengerusi PKR Johor dan kini disiasat polis mengikut Akta Hasutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan