Datuk Jailani Johari Datuk Jailani Johari
 
 
 
KOUROU - PERANCIS. - Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata,  pelancaran satelit Measat-3b tidak harus dilihat sebagai persediaan dan penyelesaian kepada masalah seperti tragedi yang menimpa MH370.
 
Beliau berkata satelit berharga RM1.12 bilion milik Measat Satellite System Sdn Bhd hanya berfungsi meningkatkan keupayaan bidang telekomunikasi, bukannya membekalkan imejan jika berlaku sesuatu kemalangan termasuk berkaitan pengangkutan udara.
 
"Kalau kita lihat Measat sudah melancarkan enam satelit termasuk Measat-3b, di mana setiap satu dilancar ke orbit untuk tujuan berbeza, contohnya Measat-5 lebih kepada mengurangkan jurang digital di luar bandar menerusi keupayaan jalur lebar.

"Measat-3b pula kegunaannya lebih kepada sektor telekomunikasi dan penyiaran, bukan untuk membantu menjejak objek atau merakamkan imejan seperti dalam kes kehilangan MH370," katanya.
 
Bercakap pada sidang media selepas menyaksikan pelancaran satelit Measat-3b di Pusat Angkasa Eropah di sini Khamis, Jailani, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media bagi MH370 berkata perkara tersebut perlu diperjelaskan bagi memastikan tidak timbul salah faham masyarakat berhubung fungsi satelit itu.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
 
Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, berhampiran Perth, tempat pesawat itu dipercayai berakhir. Usaha untuk mencari pesawat itu masih berterusan.
 
Jailani berharap masyarakat faham bahawa enam satelit yang dimiliki syarikat itu semuanya direka berpaksikan matlamat meningkatkan kualiti telekomunikasi, penyiaran serta teknologi maklumat.
 
Beliau berkata pelancaran satelit berkeupayaan tinggi itu diharap mampu memberi sokongan terhadap kelancaran siaran televisyen berbayar kerana kolokasi  Measat-3b bersama-sama Measat-3 dan Measat-3a akan menyokong platform televisyen Terus Ke Rumah (DTH).
 
Gangguan ketika hujan merupakan masalah utama perkhidmatan sistem televisyen berbayar dan saya difahamkan kewujudan satelit ini mampu membantu menangani masalah itu, katanya.

Dengan jangka hayat 15 tahun, dilengkapi transponder 48 Ku-band, MESAT-3b akan digunakan untuk menyokong perkhidmatan data dan video di Malaysia, India, Indonesia dan Australia.
 
Melalui penggunaan enam satelit komunikasinya, Measat kini mengendalikan satelit dengan rangkaian pengguna meliputi dua bilion penduduk di negara-negara tersebut.
 
Pelancaran satelit Measat-3b seberat 5,897kg itu yang hanya mengambil masa 48 minit untuk tiba di orbit, turut disiarkan secara langsung dan disaksikan 400 pelajar sekolah menengah di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Bernama