Sabtu, 6 September 2014

MAS: Pisang berbuah 4 kali?




Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


TRAGEDI menimpa Penerbangan Malaysia (MAS) lebih tragis daripada kehilangan dua buah pesawat.Dalam keadaan itu, sekiranya majoriti sahamnya tidak dimiliki kerajaan, rasanya sudah lama syarikat penerbangan nasional itu gulung tikar.

Dari perspektif pengurusan dan perniagaan, dilihat dari sudut mana sekalipun, adalah agak mustahil untuk memulihkan MAS walaupun sekiranya diterajui oleh CEO terhandal di dunia.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 hutang terkumpul MAS mencatatkan jumlah RM8.75 bilion. Mudahnya sahaja untuk mencongak betapa syarikat penerbangan nasional itu memerlukan masa sembilan tahun untuk menghapuskan tinta merah pada ‘lembaran imbangan’ penyata kewangannya sekiranya pengurusan baru boleh mencatatkan keuntungan pasca-cukai sebanyak RM1 bilion setahun.

Beberapa minggu lalu, kerajaan menerusi Khazanah Nasional mengambil langkah untuk membeli semula saham MAS yang tidak dimilikinya berjumlah 31 peratus daripada modal berbayar syarikat berkenaan dengan membuat tawaran 27 sen sesaham.

Susulan daripada keputusan ini, saham MAS digantung urus niaganya daripada Bursa Malaysia dengan objektif terakhir dikeluarkan daripada senarai saham tersebut harga bursa berkenaan.

Tidaklah difahami apakah tujuan kerajaan mengambil tindakan drastik tersebut. Soal pemilikan saham sebagaimana umum maklum tidak menyangkut secara langsung dengan prestasi kewangan, sekurang-kurangnya dalam kes MAS. Begitu juga dengan soal penyenaraian dalam Bursa Malaysia.

Mudah sahaja mengapresiasi hakikat sejak 2007 MAS sudah menjalani penstrukturan semula sebanyak tiga kali dah dalam tempoh itu saham MAS mengalami keadaan terumbangambing dalam Bursa Malaysia.

Ketika itu kebanyakan pemerhati kewangan berpendapat MAS sebenarnya berdaya-maju tetapi ia tidak ditangani oleh pengurusan bertaraf profesional dalam bidang perniagaan penerbangan awam.

Ramai masih ingat bagaimana sebaik MAS diswastakan kepada seorang kroni Umno pada 1997 seorang pengurus utama di bawah bekas kroni berkenaan membuat kenyataan media dengan nada seolah-olah telah bekerja dalam industri penerbangan awam selama lebih daripada 50 tahun.

Namun sejak dari saat itu, prestasi MAS terus merosot. Sepatutnya sebagai sebuah syarikat awam tersenarai ia boleh menerbitkan bon pinjaman dan sebagainya,malangnya prestasi malap MAS sebagaimana dicerminkan oleh harga sahamnya di Bursa Malaysia mengakibatkan pelabur minoriti sama sekali hilang kepercayaan sekiranya pelaburan dalam MAS membawa sebarang faedah kewangan.

Bermula dari saat inilah MAS menamatkan perkhidmatannnya ke Brussels (Belgium), Honolulu (Hawaii, AS), Madrid (Sepanyol), Munich (Jerman) dan Vancouver (Kanada). Tidak cukup dengan penamatan laluan ini, tekanan kewangan mengakibatkan syarikat penerbangan nasional itu membatalkan pula laluan Kuala Lumpur-: Manchester (England), Vienna (Austria), *****uoka dan Nagoya (Jepun), Kaherah (Mesir) dan Zurich (Switzerland).

Selepas ini menyusuli pula pengguguran perkhidmatan ke Cape Town (Afrika Selatan), Dubai (Emriyah Arab Bersatu), Buenos Aires (Argentina), Rome (Itali), Karachi (Pakistan), Surabaya (Indonesia) dan New York (AS). Terakhir digugurkan ialah perkhidmatan ke Los Angeles (AS).

Dan bermula saat ini jugalah MAS mencatatkan kerugian mercu tanda dengan kerugian terkumpul mengatasi paras RM10 bilion dan kerugian terburuk RM2.52 bilion bagi tahun kewangan 2011.

Beberapa hari lalu Khazanah Nasional mengumumkan Kabinet telah pun meluluskan skim rombakan MAS. Kurang pasti sama ada satu kajian teliti bersumberkan analisis profesional dan berkelayakan telah dilakukan sebelum rombakan ini diluluskan oleh kerajaan sebagai pemilik induk MAS atau ia merupakan satu lagi keputusan bidang terjun sebagaimana tiga penstrukturan lalu.

Apa pun para pemerhati dan penganalisis kewangan sudah mula melahirkan kesangsian sekiranya pembuangan 30 peratus kakitangan atau kirakira 20,000 pekerja (katanya termasuk eksekutif warga asing) serta pembatalan beberapa laluan lagi boleh menghapuskan tinta merah dalam penyata kewangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Telah ditegur dan diperhatikan oleh banyak pihak masalah yang melanda MAS hampir dua dekad banyak berpunca daripada strategi pemasaran dan pengurusan operasi yang tidak kos efektif.

Bekas CEO MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dalam satu wawancara tidak lama dulu turut menyatakan masalah MAS adalah akibat, “pelan perniagaan yang salah.”

Dengan kerugian sebanyak RM4.1 juta sehari sebagaimana dilaporkan oleh media, langkah terbaik sudah tentulah pengstrukturan semula syarikat.

Namun, pengstrukturan korporat sahaja tidak akan memberi kesan kepada prestasi untung-rugi. Sebaliknya apa yang berkemungkinan memulihkan MAS ialah kecekapan pemasaran dan pelbagai aspek pengurusan.

Justeru persoalannya bolehkah MAS melakukan hal itu. Rekod menunjukan banyak syarikat di bawah Khazanah Nasional dan GLC yang tidak diuruskan sebagaimana sepatutnya.

Apakah MAS kelak di bawah penstrukturan terbaru ini akan berakhir dengan tragedi kewangan lebih buruk? Sebagai rakyat Malaysia kita tidak mahu pisang berbuah ‘empat kali’. Namun kebarangkaliannya tetap ada dan tinggi.

Tiada ulasan: