Selasa, 2 September 2014

MAS di penghujung perkhidmatan?

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata Penerbangan Malaysia (MAS) sudah semakin hampir kepada penghujung perkhidmatannya.

Katanya, usaha kerajaan yang menyerahkan kepada Khazanah Nasional dengan suntikan modal sebanyak RM6 bilion itu sebagai usaha untuk menamatkan terus perkhidmatan MAS.

"MAS akan ditutup sepenuhnya dan diberikan kepada syarikat lain dengan pengurusan yang baru, ini merupakan kaedah yang pernah digunakan syarikat penerbangan luar negara dalam memulihkan industri tersebut.

"Kalau dalam istilah yang ‘tidak langsung’ adalah cuba bankrapkan MAS, selepas ini kerajaan tidak lagi memiliki MAS dan ia dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat yang menjadi penyuntik modal," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, walaupun MAS masih lagi menggunakan lambang dan nama yang sama, namun melalui kaedah yang digunakan ini mengakibatkan segala perjanjian yang ada bersama MAS akan terbatal.

"Segala perjanjian akan terbatal termasuk juga perkhidmatan pembekal makanan dalam penerbangan, Brahim's Holdings Bhd.

"Bila syarikat bankrap sudah pasti perjanjian dengan sendirinya akan terbatal, ini termasuk mana-mana perjanjian MAS dengan syarikat-syarikat lain dan juga kesatuan pekerja yang ada," sambung beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga kesal dengan keputusan Khazanah melalui mengambilalihan itu akan menyebabkan enam ribu kakitangan MAS ada dipecat.

Menurut beliau, jika Khazanah merasakan jumlah kakitangan MAS terlalu ramai kenapa pengurusan MAS mengambil terlalu ramai pekerja sebelum ini.

Katanya lagi, kerajaan perlu memikirkan langkah jangka panjang bagi memastikan kakitangan MAS yang terlibat dalam pemecatan tersebut dijamin dan membantu mereka untuk bekerja di sektor lain. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: