Sabtu, 6 September 2014

Majlis Syura Ulama tolak Azizah, Azmin jadi calon MB Selangor

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic



SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama PAS dikatakan menolak nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu, dedah setiausaha agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Katanya, keputusan badan itu langsung bertentangan dengan PAS Pusat yang bersetuju mahu menyokong pancalonan Azizah dengan syarat Azmin turut dicalonkan untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
"Tidak seharusnya saya mengulas lanjut. Nama itu terserah kepada pertimbangan saudara sendiri atau bertanyakan kepada Majlis Syura Ulama," katanya dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia.
 
PAS semalam dilaporkan menghantar dua nama ADUN PKR dan seorang ADUNnya kepada Istana Selangor biarpun parti itu sebelum ini berkali-kali menyatakan tidak berminat dengan kerusi nombor satu di Selangor itu.
 
Senarai nama itu dihantar kepada istana menerusi sepucuk surat yang ditandatangani Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Surat yang dipersembahkan kepada baginda sememangnya ditandatangani Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pihak presiden yang menguruskan penghantaran, tidak melalui Pejabat Setiausaha Agung PAS.
 
“Ini suatu amalan biasa, sebagaimana dalam pelantikan menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 dan 2013 apabila setiap parti menamakan calon pilihan masing-masing," kata Mustafa, sebagaimana dilaporkan akhbar milik Umno itu.
 
Media sebelum ini melaporkan PAS mengejutkan PKR apabila tidak menghantar nama Azizah dan Azmin seperti yang dipersetujui jawatankuasa PAS Pusat 17 Ogos lalu.
 
Malah PAS sehingga kini masih enggan mengesahkan senarai nama yang dihantar.
 
Namun media turut melaporkan mereka yang dicalonkan adalah Iskandar Abdul Samad (ADUN PAS) dan dua orang daripada PKR,  Dr Idris Ahmad (ADUN Ijok) dan Dr Yaakob Sapari (ADUN Kota Anggerik).
 
"Tidak seharusnya saya mengulas lanjut. Nama itu terserah kepada pertimbangan saudara sendiri atau bertanyakan kepada Majlis Syura Ulama," kata Mustafa lagi.

Tiada ulasan: