Ahad, 7 September 2014

Majlis Syura tegaskan kuasanya & presiden

MALAYSIAKINI


 


Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam perkara melibatkan kepentingan parti dan anggota jawatankuasa pusatnya pula harus menjalankan arahan diberikan.

Menurut kenyataan badan kedua tertinggi pembuat dasar selepas muktamar itu, kedua-dua perkara itu termaktub dalam perlembagaan PAS, seperti berikut:

  • Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.
     
  • Menjadi kewajipan ahli jawatankuasa kerja pusat PAS untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m).
Majlis Syura juga membariskan sebuah hadis berkaitan kepimpinan yang bermaksud:

"Hendaklah kalian dengar dan taat, meskipun yang menjadi ketua di kalangan kalian seorang hamba berbangsa Habsyi."

Menurut Harakahdaily, perkara itu diputuskan oleh majlis itu yang bersidang hari ini. Majlis itu sebelum ini jarang mengeluarkan kenyataan media dalam sesuatu isu.

Kenyataan itu dilihat dibuat bagi meredakan kemarahan sebahagian pihak dalam PAS yang mempertikaikan tindakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengambil pendirian berbeza dengan jawatankuasa pusatnya dalam isu calon pengganti menteri besar Selangor.

Jawatankuasa pusat PAS sebelum ini memilih Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail di samping timbalannya Azmin Ali.

Bagaimanapun, PAS kemudiannya menghantar nama lain, termasuk anggota dewan undangan negerinya dan tidak langsung mencalonkan kedua-dua pemimpin kanan PKR itu.

Hadi dan timbalan mursyidul AM PAS Datuk Haron Din, orang nombor dua dalam Majlis Syura, kemudiannya menjelaskan Azizah tidak layak untuk menjadi menteri besar dan ia ditolak bukan sebab seorang perempuan, seperti dispekulasikan sebelum ini.

Sementara itu, kenyataan Majlis Syura juga hari ini menegaskan kuasanya untuk “menjelas, menghurai dan mentafsirkan perlembagaan PAS” seperti termaktub dalam Fasal 8 (1) (a) Perlembagaan PAS.

Selain Majlis Syura, jawatankuasa pusat PAS turut bermesyuarat hari ini membincangkan isu sekitar penggantian Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun pendirian sebenar jawatankuasa itu masih tidak apabila kenyataan dua pemimpin utamanya kelihatan berbeza nada.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini berkata PAS akan menolak jika ADUN mereka dipilih sebagai menteri besar baru oleh istana.

Manakala setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali pula berkata akan akur pada apa jua keputusan istana.

Tiada ulasan: