Khamis, 4 September 2014

Logik kukubesi di sebalik kegilaan Akta Hasutan

lks bazar 5

Roketkini.com


KUALA LUMPUR- Di sebalik ‘kegilaan’ mendakwa ramai aktivis dan ahli politik Pakatan Rakyat di bawah Akta Hasutan, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata sebenarnya ada logik di sebalik tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

“Perdana Menteri Najib Razak tidak gila – ada logik dalam kegilaannya, ketika ISA bukan satu-satunya laluan bagi sebuah pentadbiran kuku besi,” katanya sinis, dalam satu kenyataan petang semalam.

Kit Siang merungkai persoalan dibangkitkan rakyat Malaysia sama ada pentadbiran Najib kurang siuman, tanpa peranan politiknya sebagai Perdana Menteri selepas lima tahun memegang jawatan itu dengan hanya melihat apa yang dilakukan kerajaan menjelang sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-57.

Kata Kit Siang, Najib melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan mana-mana Perdana Menteri sebelum ini, iaitu menyampaikan perutusan kemerdekaan secara langsung, kononnya bertujuan membawa mesej dari ‘mata ke mata’, dan dari ‘hati ke hati’ untuk kelihatan lebih dekat dengan rakyat.
Malangnya ucapannya dengan tema teras perpaduan dan kemakmuran sama sekali diabaikan oleh menteri Umno dan pemimpin BN sebelum dan selepas 31 Ogos dengan menyemarak perpecahan dan perbalahan antara kaum melalui penyebaran mitos tidak berasas kononnya bangsa Melayu dan agama Islam ‘sedang diserang’.

Tambah Kit Siang, ikrar Najib sebelum ini untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menjadikan Malaysia ‘negara demokrasi terbaik di dunia’ punah apabila pentadbirannya melakukan pendakwaan di bawah Akta Hasutan terhadap pemimpin pembangkang, paling banyak berbanding mana-mana Perdana Menteri Malaysia.

Sebaliknya, menteri dan pemimpin Umno, cybertroopers dan pertubuhan yang menyokong mereka dibiarkan menghamburkan ucapan menghasut seolah-olah mereka kebal dan mendapat perlindungan.

Sementara itu, dakwaan buat kali pertama dalam sejarah terhadap ahli akademik, iaitu pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom di bawah Akta Hasutan menampakkan ironi kerana pada hari yang sama Najib mengatakan bahawa ahli akademik dan intelektual adalah tunggak penting negara.

Penangkapan besar-besaran Pasukan Peronda Sukarela (PPS) selepas perarakan Hari Merdeka di Pulau Pinang pula membuktikan Ketua Polis Negara bukan sahaja menghina Hari Kemerdekaan, malah juga perutusan Perdana Menteri yang menganjurkan semangat patriotik demi membina masyarakat Malaysia yang berjiwa kesukarelawanan.

“Sukar dipercayai apabila penyokong transformasi politik membawa Malaysia kepada pentadbiran kuku besi, seolah-olah memenuhi janji untuk menjadikan Malaysia negara ‘demokrasi terbaik dunia’ melalui cara ‘demokrasi terburuk di dunia’, kata Kit Siang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: