Jumaat, 5 September 2014

Laporan awal siasatan MH17 boleh diketahui 4 petang

 

 
Belanda menjadi pihak yang bertanggungjawab untuk menyediakan laporan hasil siasatan nahas pesawat berkenaan. 

mh17-malaysia-airline-ukraine-russia-plane-crash


PETALING JAYA: Laporan awal siasatan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang diketuai oleh Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) akan disiarkan menerusi laman web agensi berkenaan, pada 9 September ini.

Laporan awal siasatan itu boleh dilayari menerusi laman www.safetyboard.nl mulai jam 4 petang, waktu tempatan.

Dalam nahas ini, Belanda menjadi pihak yang bertanggungjawab untuk menyediakan laporan hasil siasatan nahas pesawat berkenaan yang dikatakan ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Dalam nahas itu, seramai 298 orang penumpang dan kru pesawat telah terkorban.

Sehingga ini, ramai yang mempertikaikan punca nahas dengan negara Barat meletakkan kesalahan itu kepada kumpulan pemisah Ukraine yang pro-Russia, manakala Moscow pula menyalahkan Kiev.

Selain 43 warga Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Pada 2 September, tujuh jenazah warga Malaysia mangsa tragedi MH17 telah di bawa pulang dan ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 31 jenazah warga tempatan pulang ke tanah air setelah tragedi itu memasuki hari yang ke-51.

Hanya satu jenazah yang sudah dikenal pasti belum dibawa pulang lagi setakat ini berikutan proses pengurusan jenazah belum selesai.

Tiada ulasan: