Khamis, 4 September 2014

KR Perlu Calonkan Azmin Secara Rasmi

shahbudindotcom


PKR dilaporkan sudah menerima jawapan daripada Istana Selangor malam tadi berhubung pencalonan jawatan Menteri Besar bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Dalam jawapan yang diberikan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution malam tadi juga tetapi kemudiannya ditarik balik atas alasan ada beberapa maklumat lain perlu dimasukkan, sesuatu yang jelas ialah Sultan Selangor tetap mahukan PKR menamakan lebih daripada seorang calon untuk baginda membuat pilihan.

PKR dan DAP sebelum ini hanya mengemukakan satu nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail manakala Pas pula sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Mustaffa Ali akan mengemukakan dua nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat pada 17 Ogos lalu.

Jawapan daripada Istana yang dilapor mahukan PKR mengemukan dua nama memberi pelbagai maksud. Pertama, ia mungkin bererti baginda menolak Dr Wan Azizah dan mahukan calon lain. Kedua, mungkin Sultan belum menolak nama Dr Wan Azizah tetapi sekadar mahukan PKR mematuhi titah baginda sebelum ini yang mahukan setiap parti mengemukakan dua nama.

Hanya setelah titah baginda itu dipatuhi dan tidak seolah-olah memaksa dengan hanya mengemukakan satu nama, barulah pilihan akan dibuat dalam tempoh yang terdekat ini.

Siapa yang bakal terpilih terpulang kepada kebijaksanaan baginda. Ia mungkin Dr Wan Azizah dan mungkin juga Azmin.

Ini akhirnya terpulang kepada PKR sama ada mahu mematuhi titah baginda itu ataupun tetap berkeras juga dengan pencalonan nama Dr Wan Azizah. Tetapi risiko untuk PKR terus berkeras adalah tinggi kerana ia akan menyebabkan nama Dr Wan Azizah terus tidak diperkenankan untuk selama-lamanya.

Dengan PKR terus mencalonkan nama Dr Wan Azizah saja, ia mungkin pula membuatkan Sultan membubarkan DUN bagi diadakan pilihanraya negeri. Tetapi jika ditakdirkan PR terus menang dan kerusi Menteri Besar masih dikekalkan untuk PKR, masalah sama akan berulang kerana Sultan akan tetap menolak jika Dr Wan Azizah dicalonkan lagi.

Itu kalau menang, kalau PR kalah pula, semuanya melepas.

Oleh kerana dalam kenyataan Saifuddin yang ditarik balik itu dikatakan tidak menyatakan penolakan Sultan terhadap nama Dr Wan Azizah, adalah lebih baik PKR menamakan semula Presiden PKR itu sebagai pilihan pertama dan diikuti dengan Azmin Ali sebagai pilihan kedua.

Yang penting, titah Sultan dipatuhi.

Walaupun Pas juga dilaporkan mencalonkan Dr Wan Azizah dan Azmin Ali yang secara teorinya sudah membolehkan Sultan membuat pilihan kerana ada lebih dua nama dikemukakan, tetapi jelas di sini bahawa Sultan Selangor ingin melihat pencalonan yang sama datangnya daripada PKR kerana menyedari parti-parti gabungan dalam PR telah menyerahkan kerusi Menteri Besar ini kepada parti itu.

Mungkin bagi Sultan Selangor, nama Azmin yang dicalonkan oleh Pas itu tidak memadai, melainkan jika PKR juga mencalonkan sama namanya, sesuai dengan jawatan Menteri Besar itu milik PKR. Oleh itu, adalah perlu PKR mengemukakan dua nama itu secara rasmi bagi membolehkan baginda membuat pilihan.

Sebab itulah surat daripada Istana Selangor malam tadi hanya dihantar ke pejabat PKR, tidak ke pejabat Pas dan DAP. Pencalonan dua nama oleh Pas barangkali sudah mencukupi manakala pendirian DAP yang hanya mencalonkan nama Dr Wan Azizah saja dianggap tidak menjejaskan apa-apa.

Sultan Selangor nampaknya masih menghormati PKR dalam soal perlantikan Menteri Besar ini dan kini terpulang kepada PKR menghormati baginda pula.

Tiada ulasan: