Jumaat, 5 September 2014

Khalid: Tiada usaha jatuhkan Hadi

MALAYSIAKINI



 


Ahli jawatakuasa pusat PAS Khalid Samad berkata dakwaan berhubung usaha untuk menjatuhkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanyalah satu persepsi yang dibangkitkan oleh golongan digelar “ustaz muda” dalam parti.

MP Shah Alam itu berkata PAS tidak pernah menjalankan sebarang usaha untuk menyingkirkan Abdul Hadi.

Katanya lagi, beliau juga sejak awal lagi tidak bersetuju dengan pelantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan kini menyebelahi PKR dalam usaha menukar menteri besar itu.

Bagaimanapun, pendiriannya itu menyebabkan beliau diserang oleh kumpulan ulama dalam PAS kerana didakwa "mengkhianati Hadi".

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Khalid berkata apa yang berlaku dalam parti itu hanyalah perbezaan pendapat mengenai isu tertentu tanpa mencabar kepimpinan Abdul Hadi.

"Setakat mana yang saya tahu, selama ini di dalam Muktamar PAS memang tidak ada sesiapun yang dicalonkan untuk menandingi Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS.

Hadi tak puas hati

"Setakat mana yang saya tahu, memang kebanyakan, kalau tidakpun, keseluruhan ahli PAS, memang pada dasarnya tidak ada masalah dengan Ustaz Hadi.

“Sekalipun beliau dilihat konservatif, hakikatnya dalam mesyuarat, beliau membenarkan setiap orang memberi pandangan. Beliau tidak pernah kata 'ini padangan saya, kamu mesti ikut'. Tiada," katanya.

Beliau menjawab soalan berhubung sejauhmana serius usaha untuk menyingkir Abdul Hadi sebagai presiden dalam parti itu.

Mengakui MP Marang itu ada rasa "tidak puas hati" dengan pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat dalam isu tertentu, namun Khalid berkata komitmen tokoh PAS itu dalam gabungan pembangkang itu tetap kukuh.

"Saya rasa (ia) tidak akan menimbulkan masalah, terhadap kepimpinan dalam pada Tok Guru Abdul Hadi. Hanya menjadi masalah, ada timbul persoalan (desas-desus) nak keluar Pakatan.

"Khabar angin ini sukar nak pisahkan antara betul dan direka. Saya rasa selagi mana komitmen (Hadi dalam) Pakatan Rakyat itu tetap mantap dan kukuh, (maka) tidak akan ada masalah," katanya.

Tiada ulasan: