Nor Azmir Zakaria Nor Azmir Zakaria
KUALA LUMPUR - Nasib pasukan Unit Amal Pas yang bakal berdepan tindakan undang-undang seperti yang disuarakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan hanya lebih kepada kepentingan politik semata-mata.

Pengerusi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Pemuda Pas Pusat (Juham), Nor Azmir Zakaria berkata,  kes Unit Amal itu bukan perkara baharu malah ia telah terbukti di mahkamah tiga tahun lalu.

Jelasnya, jika Ahmad Zahid berkeras mahu mengheret Unit Amal Pas ke mahkamah, usaha itu hanya sia-sia sahaja kerana dalam kes demostrasi Gerakan Mansuhkan ISA, pihak pendakwaraya sendiri gagal mengetepikan kes itu di peringkat pendakwaan lagi.

"Sekiranya kes ini dibawa sekali ke mahkamah, ianya akan terhalang oleh prinsip "Res judicata" atau kes yang telah diputuskan secara prinsipal di mahkamah.

"Pihak mahkamah telah memutuskan bahawa pihak pendakwa gagal untuk memutuskan kes itu secara prima facie bahawa perlunya mereka berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Semalam, Naib Presiden Umno itu memberi amaran bahawa Unit Amal Pas juga bakal berdepan tindakan undang-undang kerana pasukan keselamatan itu tidak berdaftar secara sah dengan ROS.

Isu itu timbul selepas polis menahan kira-kira 154 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang selepas menghadiri perarakan hari merdeka di Esplanade, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lalu berkata PPS tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan oleh itu dianggap pertubuhan yang menyalahi undang-undang.