Sabtu, 6 September 2014

Kes Safwan bukti transformasi Najib bohong

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Tindakan terhadap bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang @ Talib, 24, yang disabit bersalah atas tuduhan menghasut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dilihat satu lagi kegagalan transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan terbaru itu menunjukkan betapa Najib tidak lebih dari berbohong untuk memansuhkan akta tersebut.

Pengarah Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Wilayah, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi ketika dihubungi memberitahu keputusan mahkamah tersebut merupakan satu kejutan.

"Kita melihat keputusan tersebut satu kejutan di saat Najib mengatakan menghapus akta hasutan itu.

"Satu pembohongan jelas dalam janji beliau sebelum ini dan keputusan ini telah menyekat kebebasan rakyat di negara ini," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut berpendapat hukuman 10 bulan penjara dan ikat jamin RM15 ribu merupakan keputusan yang amat keras apatah lagi ia bukanya jenayah berat atau mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

"Hukuman yang dikenakan itu terlalu berat, lagipun kenyataan Safwan mengikut fakta jelas mengenai isu pilihanraya yang telus.

"Lagi pun ia bukannya jenayah berat serta mendatangkan kecederaan kepada sesiapa pun, kita pun tuntut pilihanraya yang bebas dan telus," kata yang juga merupakan Exco Pemuda PAS Malaysia.

Ahmad Zamri turut menjangkakan empat orang lagi MP Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, aktivis Adam Adli Abdul Halim, anggota PAS Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar dan aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim akan turut menerima nasib yang sama.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan Safwan bersalah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 selepas berpuas hati ucapannya itu mengandungi elemen menghasut.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bermula hari ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di alamat Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi, Kuala Lumpur antara jam 8.55 malam dan 11.15 malam pada 13 Mei tahun lepas.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: