Rabu, 17 September 2014

Kementerian pun kena fitnah hingga soalan bocor

AZIZ MUDA


KULAIJAYA: Keburukan fitnah kini menjadi semakin berleluasa ekoran perkembangan media maya di negara ini sehingga menyebabkan pelbagai fitnah tercipta dan tersebar dengan cepat menerusi pelabagai saluran terutama dirujuk kepada WhatsApp dan facebook.

"Akibatnya kini semua pihak terkena fitnah. Institusi raja pun kena fitnah, institusi undang-undang pun kena fitnah, Kementerian Pendidikan pun kena fitnah hingga soalan bocor.

"Jika di negara lain, Menteri Pendidikan pasti akan letak jawatan kerana kejadian itu, tetapi ini tak berlaku di negara ini," kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ke-53 yang bertemakan 'Pertegas Prinsip Perjuangan' di IOI Palm Villa Golf & Country Resort di sini, pagi ini.

Menurut Dr Haron Din, selain institusi-institusi itu, PAS yang membabitkan Presiden PAS dan ke semua sayapnya termasuk Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat turut terkena fitnah sehingga menyebabkan pelbagai tanggapan buruk berlaku ke atas PAS dan kesemua sayapnya.

Kesemua itu, katanya, menyebabkan cabaran ke atas Dewan Ulamak PAS Pusat semakin ketara yang perlu ditangani dengan baik oleh dewan itu bagi memperbetulkan dan memperbaiki kembali segala kerosakan yang berlaku itu kerana fitnah.

"Kesemua fitnah yang terkena ke atas Dewan Ulamak termasuk ke atas Presiden PAS adalah perkara-perkara yang direkakan sehingga menyebabkan keputusan yang dibuat dipertikaikan. Ini amat perlu difahami oleh setiap ahli PAS," katanya.

Beliau turut menasihatkan kesemua ahli PAS agar tidak lupa menghayati prinsip wala' atau mentaati pemimpin dalam Islam dalam menyelesaikan permasalahan dalaman parti yang berlaku sekarang yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali, kecuali jika pemimpin menyuruh melakukan perkara maksiat. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: