Selasa, 16 September 2014

Keluarga Shaikh Mohd Noor lega jenazah dikenal pasti

SOON LI WEI


KUALA LUMPUR: Anggota keluarga Shaikh Mohd Noor Mahmood, 44, anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terkorban dalam nahas 17 Julai lalu, akhirnya menarik nafas lega kerana jenazahnya sudah dikenal pasti.
  
Meskipun masih diselubungi kesedihan, namun adik kepada Shaikh Mohd Noor, Siti Nurhidayah Mahmood, 23, berkata penantian selama dua bulan itu berakhir apabila beliau dan anggota keluarga yang lain menerima berita mengenai penemuan itu semalam.
  
"Akhirnya kami dapat menarik nafas lega, sekurang-kurangnya jenazah arwah abang (Shaikh Mohd Noor) sudah dijumpai dan kami sekeluarga berasa syukur kerana jenazah bakal dibawa pulang.
  
"Sebaik sahaja terima panggilan daripada pihak MAS, enam daripada anggota keluarga kami sudah berlepas ke Armsterdam malam tadi bagi proses pengurusan membawa balik jenazah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana bertungkus-lumus membawa pulang kesemua jenazah mangsa MH17, termasuk Shaikh Mohd Noor yang juga abang sulungnya.   
  
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Negeri Selangor, David Ang berkata anggota keluarga Liew Yau Chee, 38, mangsa nahas MH17 yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Selangor masih belum boleh ditemui media kerana masih dalam keadaan sedih.
  
"Anggota keluarga Liew berhasrat untuk menunggu kepulangan mayat mendiang isterinya (Lee Kiah Yeen yang masih belum ditemui) sebelum mengadakan upacara keagamaan," kata Ang.
  
Ang, yang juga Bendahari Agung Gerakan berkata pihaknya bersedia untuk membantu anggota keluarga Liew.
  
Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan empat lagi jenazah mangsa nahas MH17 telah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan dijangka akan dibawa pulang dalam masa terdekat.
  
Menurut Liow, dua daripadanya iaitu Muhammad Afzal Tambi, 17, dan Marsha Azmeena Tambi, 15, telah mendapat kelulusan pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang manakala dua lagi iaitu Shaikh Mohd Noor dan Liew masih dalam proses pengurusan jenazah.
  
Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
 
Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, pesawat itu juga membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. - Bernama

Tiada ulasan: