Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
 
 
 
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong penuh tindakan polis menahan lebih 150 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang semalam, selepas pasukan itu ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti kerana PPS adalah pertubuhan haram.
  
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penahanan anggota PPS itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan surat rasmi yang menyatakan bahawa pertubuhan itu tidak berdaftar dengan ROS.
  
"Walaupun pihak polis mengalu-alukan semua individu dan organisasi serta pihak tertentu untuk membantu polis di dalam menjaga keamaan, tetapi pendekatan untuk mencabar polis bukan sesuatu yang bijak.
  
"Tentu sekali apa yang sedang berlaku itu (penahanan anggota PPS) adalah akibat daripada tindakan mencabar undang-undang yang sedia ada," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Segambut, di sini hari ini.
  
Beliau mengulas mengenai penahanan 154 orang anggota pasukan itu di kawasan Padang Kota, Pulau Pinang, semalam.

Ahmad Zahid berkata, kementeriannya dan beberapa kementerian lain telah mempunyai badan-badan sukarela yang ditubuhkan untuk membantu pihak polis menjaga keamanan negara.
  
Katanya, di bawah KDN, pasukan seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) telah ditubuhkan selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
  
"Kalau mahu menjaga soal keselamatan kita ada Rela, ada program Community Policing, kita ada Rakan Cop yang boleh membantu dan pasukan Rukun Tetangga...tidak perlu menubuhkan pertubuhan lain," katanya. - Bernama