Khazali. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Khazali. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 
 
 
PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) bakal melakukan rombakan besar-besaran melibatkan 13,000 anggota dan pegawainya  di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi memantapkan pengurusan pihak berkuasa berkenaan selain dapat  memelihara integriti kakitangan jabatan berkenaan.

Menurut beliau, perbincangan dalaman dan hasil kajian mengenai perkara berkenaan telahpun selesai dan ianya akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

“Kita telah lihat beberapa perkara termasuk  melibatkan SOP ‘Standard Operation Prosedure’ Kastam ketika ini yang membolehkan ‘penyangak’ mengambil kesempatan.

“Perkara ini kita telah perincikan, banyak kelemahan yang ada untuk kita perbaiki,  untuk kes sebelum ini kita serahkan kepada SPRM untuk lakukan siasatan, saya tak mahu komen,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai  tindakan jabatan berkenaan susulan siasatan ke atas 12 pegawainya yang bertugas di Zon Perdagangan  Bebas Cukai Pelabuhan Klang  yang ditangkap  kerana disyaki terlibat dengan rasuah.

Menurut beliau,  Kastam tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang terlibat dalam salah laku disiplin termasuk rasuah dan salah guna kuasa.

“Sepanjang tahun 2011 hingga Mei tahun ini, seramai 304 siasatan kes tatatertib melibatkan kakitangan  jabatan ini telah direkodkan dan daripada jumlah itu hanya 101 kes yang disiasat  melibatkan kes rasuah dan salahguna kuasa.

Khazali turut meminta agar masyarakat tidak terus menuding jari dan berterusan menyalahkan Kastam dengan apa yang berlaku.

“Kita belajar dari apa yang berlaku, kes salah laku seperti ini harus dibanteras  dan tidak adil untuk menyalahkan jabatan ini  sepenuhnya terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Sejak 4 September lalu, seramai, 22 individu, 12 daripadanya merupakan pegawai Kastam pelbagai pangkat direman kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan arak dan rokok secara besar-besaran membabitkan cukai tidak berbayar lebih RM1 bilion

Hasil operasi besar-besaran ini, SPRM  turut merampas dan menyita wang rasuah bernilai lebih kurang RM3 juta termasuk  207 akaun bank milik individu dan syarikat dibekukan, 10 kenderaan mewah yang disyaki hasil wang rasuah, gudang arak dan rumah kedai.

Kesemua mereka ditangkap di kawasan Lembah Klang dan Ipoh, Perak.

Operasi berkenaan  diketuai  Jabatan Peguam Negara dan SPRM serta dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan CyberSecurity di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).