Selasa, 16 September 2014

Kakitangan pusat dikerah sambut Muhyiddin

ASLANI M 







TUMPAT: Banyak kenderaan milik jabatan kerajaan pusat dilihat Kampung Telok Jering, Kampung Bendang Pak Yong dan Simpangan sejak pagi semalam bagi membuat persiapan menyambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seorang pesara, Wan Kamaruddin Wan Kob berkata, beliau melihat lori-lori milik Kada menurunkan khemah-khemah sejak tengah hari semalam.

“Selepas itu kakitangan Kada yang berada di situ memasang khemah-khemah yang dihantar. Kerahan kakitangan kerajaan pusat begitu berleluasa sekali bagi membantu kempen BN,” katanya di sini.

Muhyiddin tiba Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 10 pagi tadi dan kemudian berkereta ke Wat Machimaram di Jubakar Darat, Dun Pengkalan Kubor.

Program tersebut dinamakan sebagai Majlis Ramah Mesra Masyarakat Siam bersama Timbalan Perdana Menteri. Hanya kelihatan seorang sami berada di pentas bersama Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno.

Keadaan itu jauh berbeza dengan Majlis Jalinan Mesra Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob bersama masyarakat Siam di wat sama 12 September lepas.

Majlis ramah mesra tersebut turut dihadiri Ketua Sami Wat Machimaran, Prak Khru Whiktet Thammnard dan ramai lagi sami wat tersebut dan wat lain di Tumpat.

Penduduk tempatan di sini mengakui tidak ramai sami Buddha hadir pada program anjuran BN hari ini.

“Sedangkan pada program anjuran kerajaan negeri Jumaat lepas ramai sami datang. Ini seolah-olah melihat satu petanda perubahan kalangan masyarakat Siam,” katanya di sini.

Selepas beramah mesra bersama pengundi kalangan masyarakat Siam di Jubakar Darat Timbalan Perdana Menteri berkempen pula ke Kampung Bendang Pak Yong.

Di Bendang Pak Yong Muhyiddin difahamkan menziarahi rumah penduduk sebagai gimik kempen sebelum menunaikan solat Zohor di Masjid Simpangan.

Beliau juga dikatakan melawat Pondok Simpangan milik calon BN, Mat Razi Mat Ail.

Pondok tempat pengajian kelas al Quran itu difahamkan disumbang bekas Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar.

Wan Kamaruddin berkata, sebahagian besar yang hadir pada program Timbalan Perdana Menteri ialah kakitangan kerajaan pusat dan penyokong Umno dari bahagian-bahagian lain di Kelantan.         

Seorang penduduk pula mendakwa Umno menggunakan premis pejabat milik agensi kerajaan pusat sebagai bilik gerakan kempen parti itu.

“Saya melihat ramai petugas-petugas Umno berkumpul di premis milik Jabatan Perpaduan Masyarakat di Terbok, Tumpat,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu menjadi satu kesalahan menggunakan kemudahan milik kerajaan ketika kempen pilihan raya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: