Rabu, 17 September 2014

Kaedah Presiden PAS urus konflik dalaman parti

AZIZ MUDA


KUALA LUMPUR: "Lebih mematangkan parti dan menapis siapa yang jujur dan yang tak jujur dengan parti.

"Walaupun perkara itu dalam ilmu Allah, Allah yang menentukan siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak ikhlas," tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.   

Beliau menyatakan demikian apabila diminta menyatakan bagaimana pandangan beliau selaku presiden parti mengenai krisis dalaman PAS sekarang.

Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulas kemelut Menteri Besar Selangor, cabaran getir dan pencapaian manis PAS, tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat, mengapa Muktamar PAS ke-60 diadakan di Johor dan lain-lain.

Berikut ialah petikan jawaban beliau.

Setiap organisasi terutama organisasi besar seperti PAS tidak akan terlepas dengan pelbagai krisis dalamannya sendiri. Ini lebih ketara kebelakangan ini ekoran krisis Menteri Besar Selangor, sehingga terdapat pelbagai pandangan termasuk yang negatif dan positif berhubung dengannya. Bagaimana pandangan Tok Guru selaku Presiden parti mengenai krisis dalaman PAS sekarang. Adakah ia akan lebih mematangkan PAS sendiri atau sebaliknya?

Tuan Guru: Lebih mematangkan parti dan menapis siapa yang jujur dan yang tak jujur dengan parti. Walaupun perkara itu dalam ilmu Allah, Allah yang menentukan siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak ikhlas.   

Tok Guru sebagai Presiden parti pasti mempunyai kemahiran yang tersendiri dalam menguruskan pelbagai krisis. Apakah kaedah yang digunakan oleh Tok Guru dalam mengurus krisis atau konflik dalaman parti dan bersama parti-parti lain yang terlibat dengan PAS.

Yang paling besar, perlembagaan parti kita sangat kukuh. Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qiyas, di mana sifat kesabaran kita dan kebijaksanaan kita dipandu oleh petunjuk Islam. Ini yang paling menyelamatkan kita. Dengan sebab itu dalam semua krisis di sepanjang zaman, PAS tetap selamat, mereka yang tidak istiqamah tidak selamat, sama ada dia dipecat dari parti atau pun dia akan terkeluar dengan sendiri, tidak mengira sama ada dia Presiden parti atau pun ahli biasa. Pernah Presiden parti keluar parti, pernah dipecat, bukan sahaja ahli biasa yang dipecat, dalam keadaan PAS terus teguh dan kuat. Yang penting mereka istiqamah dengan perjuangan. Siapa yang istiqamah, dia selamat, yang tak istiqamah walaupun siapapun dia tidak selamat.             

Apa saranan Tok Guru kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik yang membabitkan Muktamar Tahunan PAS ke-60 pada 18 hingga 20 September nanti dan selepas muktamar.

Yang penting bagi kita ialah keimanan dan keikhlasan kita kepada Islam yang kita perjuangkan, Tuhan yang kita abdikan diri kepadanya, rakyat yang kita bela, ahli yang kita pimpin. Seterusnya matangkan kebijaksanaan kita dengan ilmu dan pengalaman, yang perlu dilakukan muhasabah dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: