Jumaat, 12 September 2014

Jerebu: Pengurus ladang M'sia dipenjara di Riau

MALAYSIAKINI



 
 
 
Seorang pengurus ladang Malaysia dipenjara setahun dan didenda lebih RM500,000 oleh mahkamah daerah Riau ekoran kes kebakaran ladang yang menyebabkan negara jiran, termasuk negara ini dilanda jerebu.

Laporan The Straits Times menyebut, Danesuvaran KR Singam dari ADEI Plantation, sebuah anak syarikat Kuala Lumpur Kepong (KLK) dijatuhkan hukuman itu atas kesalahan gagal mencegah kebakaran di ladang milik syarikatnya.

"Defendan cuai dalam tugasnya mengawasi ladang itu. Beliau sepatutnya mencegah pihak tidak bertanggungjawab dari menyelinap masuk ke ladang dan memulakan kebakaran," kata Hakim Donovan Kusuma Bhuwono.

Hakim Donovan turut mendenda ADEI Plantation sebanyak RM404,619 dan memerintahkan syarikat itu membayar RM4,073,160 bagi memperbaiki kerosakan alam sekitar.

Pendakwa raya pada asalnya memohon hukuman penjara selama lima tahun terhadap Danesuvaran.

Danesuvaran dan syarikat majikannya bercadang untuk merayu hukuman tersebut ke mahkamah yang lebih tinggi.

Hukuman terbaru ke atas Danesuvaran ini dilihat sebagai satu mesej dari pihak berkuasa Indonesia yang mahu dilihat bertindak tegas dalam menghukum jenayah alam sekitar.

Pada 2001, seorang pengurus atasan ADEI, C Gobi dipenjara selama dua tahun kerana menggunakan api untuk melapangkan tanah.

Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada lapan bulan sahaja.

Tiada ulasan: