Sabtu, 6 September 2014

Ini Sudah Korner Baring Namanya!!

shahbudindotcom


Kali ini bukan U turn lagi, tapi sudah korner baring - barangkali ini ungkapan yang paling sesuai ditujukan kepada Pas dalam tindakan terbarunya berhubung isu pencalonan Menteri Besar Selangor.

Setelah beberapa kali membuat U turn dan pendirian tidak tetap, kali ini Pas terus menimbulkan keributan dan ketegangan dengan pengakuan Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali bahawa parti itu telah mengemukakan tiga nama kepada Sultan Selangor, iaitu dua daripada PKR dan seorang daripada Pas sebagaimana yang dititahkan oleh Istana Selangor mesti dihantar selewat-lewatnya pada 3 September.

Sebelum itu tersebar laporan bahawa Pas mencalonkan tiga Adunnya untuk jawatan Menteri Besar, namun ia segera dinafikan oleh Mustaffa Ali sebagai tidak benar. Menjelang petang pula, Mustaffa Ali mengakui tiga nama yang dihantar oleh Pas ialah dua daripada PKR dan satu daripada Pas.

Walhal, baru semalam Mustaffa Ali membuat pengakuan bahawa Pas akan tetap berpegang kepada keputusan mesyuaratnya pada 17 Ogos lalu yang mencalonkan dua nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali untuk dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Beberapa kali juga Mustaffa menegaskan sebelum ini bahawa Pas tidak akan mengemukakan calonnya bagi menggantikan Khalid Ibrahim kerana masih berpegang kepada persefahaman selepas PRU 13 lalu yang menyetujui jawatan Menteri Besar Selangor adalah milik PKR.

Namun, apa sudah jadi sekarang?

Dengan turut mengemukakan calon daripada partinya sendiri bagi jawatan Menteri Besar Selangor, Pas sebenarnya bukan saja sudah memungkiri janji dan mengkhianati rakan-rakan gabungannya dalam PR, malah mengkhianati keputusan mesyuaratnya sendiri yang diadakan pada 17 Ogos itu.

Dalam berjanji dan bermuafakat, Pas sebenarnya mengidam juga jawatan Menteri Besar Selangor ini.

Selain turut mengemukakan calon daripada parti sendiri yang dipercayai ianya adalah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad, siapa dua calon daripada PKR yang dinamakan oleh Pas juga masih lagi misteri.

Mustaffa Ali sekali lagi enggan mendedahkan nama-nama itu, tetapi desas-desus telah bertiup kencang bahawa nama Dr Wan Azizah tidak termasuk dalam senarai itu. Nama yang dicalonkan oleh Pas dikatakan ialah Azmin Ali bersama seorang lagi Adun PKR yang lain.

Bagaimanapun ada juga laporan lain menyebut, nama Azmin juga tercicir daripada senarai Pas. Kedua-dua nama yang dicalonkan Pas dikatakan bukan saja mengenepikan Dr Wan Azizah, bahkan tidak memasukkan Azmin. Sebagaimana PKR mencuri dua Adun Pas, Shaari Sungib dan Hasnul Badaruddin untuk menyokong Dr Wan Azizah sebelum ini, Pas juga nampaknya sudah pandai membalas dendam dengan mencilok dua Adun PKR untuk turut bermimpi menjadi Menteri Besar.

Jika benar perkhabaran ini, bermakna sekali lagi Pas memungkiri janji dan khianat bukan saja kepada rakan gabungannya dalam PR tetapi juga kepada keputusan mesyuaratnya sendiri. Kalau khianat dan mungkir janji kepada rakan pun sudah dianggap salah besar, lebih memalukan keputusan mesyuarat sendiri juga dinodai sama.

Sebab itu, tindakan terbaru Pas ini bukan lagi U turn, tetapi korner baring namanya.

Sudah tentu banyak pihak, bukan saja dalam Pas tetapi juga rakyat biasa yang bingung dengan pendirian parti Islam ini. Apa sebenarnya sudah yang berlaku kepada Pas sekarang ini sedangkan Islam menjadi pegangan dan landasan perjuangannya? Tidakkah berpegang pada janji, menepati janji dan tidak khianat itu sebahagian ajaran Islam?

Apakah ini tanda-tanda Pas mahu meninggalkan PR dan ingin berpeluk semula dengan UMNO? Benarkah Pas sebetulnya mungkin malu untuk meninggalkan PR semata-mata ingin berbaik dengan UMNO kerana akan menyebabkan ia dilabel sebagai jahat dan lari daripada landasan perjuangannya selama ini, lalu sengaja mencari pasal agar akhirnya mereka ditendang atau dikeluarkan daripada gabungan itu?

Sekurang-kurangnya apabila ditendang keluar daripada PR dan bukannya ia memohon untuk keluar, Pas masih boleh menjaja simpati seolah-olah dianiaya.

Tetapi jika ini niat Pas, ternyata mereka silap besar. Sudah ramai pemimpin Pas seperti Mat Sabu, Husam Musa, Khalid Samad dan Dr Zulkifli Ahmad telah tampil memperingatkan betapa pentingnya Pas terus kekal dalam PR demi cita-cita politik mahu menawan Putrajaya dan agar perjalanan parti itu tidak mundur ke belakang. Malah meninggalkan PR diibaratkan kiamat bagi Pas.

Tetapi sementara pimpinan profesional dalam Pas begitu bersungguh-sungguh mahu kekal dalam PR, terdapat pula segelintir daripada kalangan ulama Pas yang mula bermain mata dengan UMNO dengan hasrat mewujudkan kerajaan campuran di Selangor. Dalam mesyuarat Pas sendiri dilaporan berlaku ketegangan antara beberapa AJK Pas dengan Haji Hadi mengenai perkara itu setelah terdedahnya usaha beliau mahu mewujudkan kerajaan campuran dengan mengumpan Azmin Ali sebagai Menteri Besarnya.

Walaupun perkara itu dinafikan oleh pegawai Haji Hadi dan menuntut portal berita yang melaporkannya memohon maaf serta menarik balik berita mengenainya, namun portal tersebut enggan berbuat demikian dan mempertahankan kesahihan laporan mereka. Sehingga ini, tiada pula tindakan susulan daripada pihak Haji Hadi untuk terus menafikan dan mengheret portal terbabit ke mahkamah.

Hasrat segelintir pemimpin Pas mahu bergabung dengan UMNO memang aneh sebenarnya kerana ia bertentangan sama sekali dengan laungan dalam ceramah selama ini bahawa UMNO adalah parti assabiyah, taghut dan penentangan terhadap UMNO ialah kerana parti itu mengamalkan politik suku dan agama suku.

Lebih aneh sebenarnya kerana di ketika semakin ramai pemimpin UMNO menyertai Pas seperti Mat Taib, Tamrin Ghafar dan Abdul Rahman Maidin tetapi Pas pula mengambil langkah songsang dengan mahu bergabung dengan UMNO. Tidakkah ia umpama dunia sudah terbalik jadinya?

Apa pun pertimbangan Pas, jika bergabung dengan UMNO menjadi pilihannya, ia hanya menyebabkan parti itu terus ketinggalan dan menjadi gerabak yang senantiasa berada di belakang UMNO, manakala jika bersendirian pula akan memundurkan parti itu seperti tahun-tahun 80an yang hanya menjadikannya menang jumlah kecil kerusi di kawasan-kawasan tertentu saja.

Pas sebenarnya masih ada masa depan yang baik jika dipimpin secara betul oleh mereka yang fokus dengan matlamat sebenar dalam perjuangan politiknya dan bergabung dengan PR adalah pilihan yang terbaik bagi memastikan kekuatan pembangkang terus utuh dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Barangkali semua yang berlaku dalam Pas mutakhir ini petanda bahawa Haji Hadi yang kini dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia oleh Dr Yusof Al-Qardawi sudah wajar mengundurkan diri dan menumpukan kekuatan ilmunya untuk hukum-hakam dan halal haram dalam agama saja.

Tiada ulasan: