Selasa, 2 September 2014

Husam dakwa Umno mahu kerjasama PAS kembalikan majoriti 2/3 Parlimen

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mendakwa Umno sedang berusaha untuk bekerjasama dengan PAS di Selangor bagi mendapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen. 
 
Menurut beliau, Umno memerlukan sokongan ini bagi membolehkan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
 
"Hasrat utama kumpulan ini adalah untuk mencapai dua pertiga di Parlimen dan seterusnya meluluskan tambahan kerusi Parlimen yang kononnya memperkuat kuasa politik Melayu.
 
"Selangor adalah umpan terdekat mereka," kata Husam yang dipetik daripada The Malaysian Insider.
 
Husam bagaimanapun penuh yakin usaha itu akan menemui jalan buntu kerana katanya, "PAS adalah PAS."
 
Beliau mengulas tentang desas-desus pembentukan kerajaan PAS, Umno dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor yang sedang hangat diperdebatkan sekarang ini.
 
"Saya katakan, bukan sahaja sukar tetapi mustahil. Baik dari sudut bilangan, prinsip, pelaksanaan dan kesan jangka pendek dan panjang serta dinamisme parti-parti yang terlibat," kata Husam yang juga Adun Salor, Kelantan.
 
Husam turut menolak spekulasi PAS akan menerima Khalid yang juga bekas parti rakan Pakatan Rakyat (PR) mereka menyertai parti Islam itu dengan harapan dapat mencukupkan korum membentuk kerajaan perpaduan (UG) bersama Umno.
 
Beliau berkata, jika parti Islam itu mahu bergabung dengan Khalid dan 12 Adun Umno menjadikan bilangannya 29 kerusi bagi membentuk kerajaan minoriti, itu perlu diputuskan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
 
"Saya tidak nampak keahlian mereka akan diluluskan oleh PAS Pusat. Banyak sebab asas kenapa saya berpandangan demikian tetapi rasanya tidak perlu dihuraikan di sini.
 
"Pokoknya, keahlian mereka tidak akan diterima," kata Husam.

Tiada ulasan: