Selasa, 16 September 2014

Hari Malaysia: Jemaah haji adakan solat hajat, tahlil

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
  
 
 
MAKKAH: Jemaah dan petugas haji di semua 12 maktab penginapan Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah malam tadi mengadakan bacaan Yasin, solat hajat dan doa selamat sempena sambutan Hari Malaysia.
 
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata majlis selepas solat Maghrib itu bagi mendoakan Malaysia terus aman dan makmur.
 
"Selain mendoakan moga kepimpinan negara dapat meneruskan tanggungjawab membangunkan negara dengan lebih berjaya," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis berkenaan di Maktab Penginapan 83 di Hotel Abraj Al Janadiriyyah di sini.
 
Syed Saleh berkata, setakat ini lebih 65 peratus atau 14,688 jemaah haji daripada keseluruhan 22,320 jemaah telah tiba di Tanah Suci.
 
Di Makkah kini terdapat 11,224 jemaah haji dan selebihnya di Madinah.
 
Sebanyak dua penerbangan sewa khas TH tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah iaitu KT42 dan KT43.
 
KT42 yang membawa 450 jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL tiba pada 5.30 pagi waktu tempatan (10.30 pagi waktu Malaysia).
 
Sementara KT43 yang membawa 279 jemaah haji dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu tiba pada 4.35 petang waktu tempatan (8.35 malam waktu Malaysia).

Tiada ulasan: