Selasa, 16 September 2014

Hak Anwar untuk dapat perbicaraan adil terjejas – LFL

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Kumpulan peguam Lawyers For Liberty (LFL) menggesa Peguam Negara menggugurkan pendakwaan terhadap peguam N Surendran yang dikenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan baru-baru ini.

Menurut Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen, dua pertuduhan yang dihadapi Surendran selaku peguam utama Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang serius.

ERIC_PAULSEN “Ia adalah mengejutkan dan tidak boleh diterima bagi seorang peguam dikenakan dakwaan atas kenyataan yang dibuat berhubung kes anak guamnya, dan lebih- lebih lagi kenyataan yang membentuk asas pembelaan yang sah untuk pelanggannya,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Eric, adalah penting untuk seseorang mendapat perbicaraan yang adil, termasuk peguam yang menjalankan tugas tanpa ancaman dan ugutan daripada pihak berkuasa.

Dalam kes ini, katanya, hak Anwar untuk mendapatkan perbicaraan adil di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini terjejas oleh tuduhan hasutan ke atas Surendran.

“Ia tidak boleh diterima bagi Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan Anwar dengan tuduhan hasutan ini
dikenakan kepada salah seorang peguam utama bagi rayuan itu,” ujarnya.

Pada 19 Ogos lalu, Surendren didakwa di bawah akta hasutan kerana mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang menyabitkan Anwar bersalah dalam kes liwat 2.

Pada 28 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di bawah akta sama berhubung sebuah video di YouTube yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan kes tersebut.

Tiada ulasan: