Ahad, 7 September 2014

Hadi ada kuasa pemutus

MSTAR ONLINE

Majlis Syura menegaskan bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26 (1) (a)

majlis-ulama-pas



PETALING JAYA: Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang hari ini memutuskan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mempunyai kuasa pemutus dalam sebarang perkara yang melibatkan kepentingan parti.

Kenyataan Majlis Syura tersebut sekaligus secara tidak langsung membidas kenyataan beberapa pemimpin PAS dan suara akar umbi yang sebelum ini mempertikaikan kuasa presiden parti itu dalam kemelut calon Menteri Besar Selangor.

Pengkritik Abdul Hadi dalam PAS mendakwa mengikut Fasal 82(1)(b), tugas presiden hanya sebagai Ketua Eksekutif yang menjalankan tugas berpandukan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan bukan pendirian peribadi.

Kenyataan Majlis Syura Ulamak menyebut dengan merujuk kepada Perlembagan PAS, Fasal 8 (1) (a), yang memberikan kuasa kepada Majlis Syura Ulamak untuk menjelas, menghurai dan menafsirkan Perlembagaan PAS, maka mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada Ahad, 7 September 2014, membuat keputusan bahawa:

1) Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.

Ketua yang dimaksudkan di dalam fasal tersebut mestilah difahami seperti mana disebutkan di dalam Hadis Nabi
اسمعو واطيعوا ولو تأمر عليكم عبد حبشي
“Hendaklah kalian dengar dan taat, meskipun yang menjadi ketua di kalangan kalian seorang hamba berbangsa Habsyi.”

2) Bahawa menjadi kewajipan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh Presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m).

Majlis Syura Ulamak menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh merugikan perjuangan Islam.

Tiada ulasan: