Selasa, 2 September 2014

Guna Akta Hasutan lumpuhkan Pakatan



Oleh AZIZ MUDA 


KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno-BN semakin undur apabila masih menggunakan Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan, bertujuan untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat.Pada hal Akta Hasutan sepatutnya sudah tidak wujud lagi, malah penggunaannya sangat memalukan negara di mata dunia.

Ia menunjukkan sikap sebenar kerajaan yang enggan menerima kepelbagaian pandangan dan percambahan ilmu bagi mendidik masyarakat ke arah yang lebih harmoni.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak jelas double standard apabila hanya menggunakan Akta Hasutan 1948 ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat.

“Kenapa kerajaan tak ambil tindakan ke atas pemimpin Pekasa dan pihak BTN yang jelas menghasut rakyat dan boleh mengancam perpaduan kaum melalui undang-undang.

Ketika dihubungi 29 Ogos lalu, Mahfuz berkata, Najib sepatutnya sudah menggantung Akta Hasutan 1948 kerana kerajaan sendiri telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai pelbagai parti untuk mencadangkan penggubalan Akta Keharmonian Nasional 2014 bagi menggantikannya.

Kesediaan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa tersebut ujarnya, merupakan isyarat untuk memansuhkan Akta Hasutan kerana akta itu sendiri sudah tidak lagi relevan. Antara AJKnya ialah Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa daripada PAS.

Kata Mahfuz, seramai enam ahli parlimen dan tiga Adun daripada Pakatan Rakyat didakwa dengan Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan bakal kehilangan kerusi masing-masing jika sabit kesalahan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan, tindakan Najib menyalahgunaankan Akta Hasutan 1948 ialah untuk melumpuhkan pengaruh dan kekuatan Pakatan di mata rakyat.

Pendakwaan secara terpilih yang semakin kerap terhadap pemimpin Pakatan, memberi signal Umno- BN kini semakin tidak diterima rakyat menyebabkan pemimpin mereka terdesak.

Merujuk isu yang sama, Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, beliau khuatir apa yang berlaku akan menjadi duluan untuk mengabsahkan siasatan dan pendakwaan ke atas ahli politik Pakatan Rakyat di bawah Akta Hasutan.

“Kita bimbang pada masa akan datang, hal yang sama akan dilakukan terhadap ahli parlimen yang menjalankan tugas, kerana apa yang dikatakan akan menjadi asas pertuduhan (dibawah Akta Hasutan),” katanya kepada Roketkini. com

Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP Selangor berkata, tindakan ahli politik Pakatan mengkritik Kerajaan BN adalah perkara yang dibenarkan oleh undang- undang sebagai sebahagian daripada proses semak- imbang, sama seperti diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi di dunia.

Justeru itu, tindakan pentadbiran Najib meneruskan pendakwaan adalah langkah mundur, bercanggah dengan ikrarnya sendiri dua tahun lalu untuk memansuhkan undang-undang lapuk ISA, Akta Hasutan dan Akta Penerbitan Mesin 1984.

“Perdana Menteri di Parlimen berkata bahawa undang-undang ini adalah kuno dan seharusnya digantikan dengan Akta Keharmonian atau akta lain yang dicadangkan.

“Tetapi, mengapa semakin ramai ahli politik pembangkang yang didakwa dan dituduh dibawah akta tersebut?” kata Gobind.

Sehingga kini, 11 wakil rakyat Pakatan Rakyat dan aktivis disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan termasuk Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Teresa Kok (MP Seputeh), Nik Nazmi Nik Amad (Adun Seri Setia), Khalid Samad (MP Shah Alam) selain aktivis Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Tamrin Tun Ghafar.

Tiada ulasan: