MALAYSIAKINI
Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP bersedia meletak jawatan jika
Umno negeri dapat membuktikan kerajaan negeri itu menyediakan peruntukan
RM1.5 bilion bagi Pasukan Peronda Sukarela (PPS).
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata laporan dalam laman web Umno
menyatakan peruntukan itu untuk PPS adalah tidak tepat kerana kerajaan
negeri tidak mempunyai dana sebanyak itu untuk menjayakan aktiviti unit
berkenaan.
"Wang rizab negeri hanya RM1.2 bilion, (jadi) macam mana kami boleh memperuntukkan RM1.5 bilion bagi PPS?
"Seluruh barisan pemimpin kerajaan negeri akan meletak jawatan jika Umno
Pulau Pinang dapat membuktikan RM1.5 bilion diperuntukkan (bagi PPS),"
katanya kepada pemberita di Butterworth hari ini.
Pada 4 Sept, Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman
dilaporkan berkata dalam laman web Umno bahawa secara keseluruhan
kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.5 bilion untuk menubuhkan
PPS.
Lim berkata kerajaan negeri memberi Zainal Abidin tempoh tiga hari untuk
membuktikan dakwaan beliau, jika gagal tindakan undang-undang akan
diambil terhadapnya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri bersedia membawa kes itu
ke mahkamah untuk melindungi PPS yang ditubuhkan empat tahun lalu
selepas mendapat persetujuan dalam mesyuarat exco negeri.
Pada 31 Ogos, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Pengerusinya yang
juga exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh
kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas
mendapati pasukan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan (ROS).- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan