PRK Pengkalan Kubor
 
 
 
KOTA BHARU - Bagi membuktikan kesepakatan dalam PR, Pas Kelantan menyerahkan kepada Majlis Presiden PR untuk menentukan calon PRK Dun Pengkalan Kubor yang dijadualkan 25 September depan.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, tidak ada masalah yang timbul berhubung keputusan pemilihan calon, sebaliknya Pas menjadikan kepimpinan tertinggi PR sebagai rujukan utama untuk menentukannya.

“Kita tidak ada masalah dengan PKR, soal calon ia akan diputuskan Majlis Presiden. Itu perkara biasa, Umno pun macam itu.

"Soal calon hanya (Majlis Presiden) boleh tentukan. Kita terima, tak mahu ada pergaduhan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, tindakan tersebut selari dengan prinsip kesepakatan dalam PR yang sentiasa mementingkan semangat setia kawan antara parti komponennya.

Malah, Ahmad sebelum ini turut menegaskan isu pemilihan calon boleh diselesaikan dengan baik tanpa melibatkan sebarang perebutan.

Polemik mengenai calon PR dalam PRK Dun Pengkalan Kubor bermula apabila Pas menunjukkan minat untuk meletakkan calonnya dalam pilihan raya tersebut.

PRK Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu di China akibat barah hati.

Allahyarham Noor Zahidi menjadi wakil rakyat setelah menang kerusi Pengkalan Kubor pada PRU ke-12 dan 13. Ahmad (kanan) ketika sidang media, semalam.