Rabu, 3 September 2014

Calon MB Selangor: Saya Tak Nak Ambil Tahu - Khalid



Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan terlibat dalam urusan pelantikan menteri besar baharu bagi membolehkan beliau memberi tumpuan terhadap urusan pentadbiran ketika ini.

Menurutnya, tindakan untuk tidak mencampuri urusan tersebut telah dimaklumkan kepada pihak istana.

"Saya tak tahu dan saya pun tak nak ambil tahu.

"Saya tak boleh terlibat. Dalam perkara ini saya minta tak terlibat kerana saya rasa saya ada kepentingan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Tambahnya, sebagai menteri besar, beliau hanya akan diberitahu tentang keputusan tertentu sepanjang proses pemilihan dan pelantikan dijalankan.

Tegasnya, beliau juga tidak mengetahui jumlah nama calon yang telah dihantar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP pada Rabu.

"Saya tak tahu calon-calon dan jumlahnya.

"Yang saya tahu dan diberitahu, ketiga-tiga parti telah menghantar nama calon menteri besar dan untuk proses seterusnya pihak istana akan memberi maklum balas terhadap cadangan yang diberikan," katanya.

Ditanya jika terdapat tempoh masa yang ditetapkan untuk istana membuat tindakan seterusnya, beliau berkata, perkara itu akan diketahui secepat mungkin.

Mengulas mengenai pilihan raya negeri yang mungkin terpaksa diadakan bagi menyelesaikan krisis ini dan mungkin membuka peluang kepada dirinya untuk terus menduduki kerusi menteri besar, jelasn, beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara Sultan Selangor.

Namun, beliau mengakui adalah penting untuk kemelut ini diselesaikan dengan kadar segera.

"Paling penting dan utama ialah mencari pengganti untuk menteri besar yang ada sekarang," katanya.

Tiada ulasan: