mahkamah
 
 
 
PUTRAJAYA - Calon Bebas bagi kerusi Dun Bagan Dalam di Pulau Pinang, G. Asoghan menarik balik rayuannya berkaitan saman sivil yang memohon mahkamah membatalkan kemenangan calon DAP A. Tanasekharan di kawasan itu pada PRU13.
 
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lim Yee Lan kemudian membatalkan rayuan itu dan memerintahkan Asoghan membayar RM5,000 sebagai kos kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Mereka membuat keputusan itu selepas peguam Nicholas Tan, yang hadir bagi pihak peguam V.Amereson, yang mewakili Asoghan, memaklumkan perkara berkenaan kepada mahkamah.
 
Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar tidak membantah namun memohon kos sebanyak RM10,000 atas alasan beliau sudah menyediakan hujah berkaitan rayuan itu.
 
Tahun lepas, Asoghan memfailkan saman sivil terhadap Tanasekharan dan SPR, yang memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa penamaan Tanasekharan sebagai calon bagi Dun itu tidak sah.

Beliau juga memohon agar keputusan pilihan raya bagi kawasan itu, yang dimenangi Tanasekharan dengan meraih undi sebanyak 10,253 diisytihar batal dan tidak sah serta meminta SPR mengadakan semula pilihan raya di Dun berkenaan.
 
Penyataan tuntutan Asoghan mendakwa Tanasekharan tidak layak bertanding sebagai calon DAP atau menggunakan simbol parti itu kerana surat kebenaran yang membolehkan beliau berbuat demikian ditandatangani Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
 
Beliau mendakwa ini kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS), dalam surat bertarikh 17 April tahun lepas, tidak mengiktiraf penyandang jawatan DAP yang dibentuk oleh jawatankuasa tertinggi pusat pada 15 Disember 2012.
 
Asoghan, yang juga Pengerusi Cawangan DAP Jalan Bagan Luar sebelum dipecat pada April tahun lepas, mendakwa Tanasekharan telah memberikan gambaran yang salah bahawa beliau adalah seorang calon DAP.
 
Mahkamah Tinggi pada 11 Mac lepas membenarkan permohonan SPR untuk membatalkan saman sivil Asoghan.
 
Sebelum itu, Asoghan memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan bagi kerusi Dun berkenaan namun menarik balik petisyen itu, yang kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 23 Jun tahun lepas. - Bernama