Sabtu, 6 September 2014

'Buang kerja kerana piket tak pernah berlaku'

MALAYSIAKINI



 


Bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Muhammad Abas hairan dengan tindakan syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad memberhentikan kakitangan yang menyertai piket.

Beliau yang juga bekas presiden Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (RUM) berkata, kakitangan yang menyertai piket pimpinannya sebelum ini tidak pernah dikenakan tindakan seperti itu.

“Dulu pernah berlangsung piket selama 23 hari, tiada langsung pekerja yang diberhentikan tetapi ini baru tiga hari dah ada yang kena berhenti,” katanya.

Muhammad turut menekankan bahawa segala aktiviti yang dijalankan oleh kesatuan pekerja tidak boleh dicampuri sama sekali oleh pihak majikan.

Katanya, RUM harus mengemukakan perkara ini kepada perdana menteri kerana ia melibatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Sebagai mantan presiden RUM, saya menyeru supaya KTMB mengambil semula pekerja yang telah diberhentikan kerana tindakan memberhentikan pekerja ini tidak relevan,” katanya.

Beliau mengulas tindakan KTMB menyingkirkan pemimpin RUM dan juga anggota kesatuan tersebut atas pembabitan dalam satu piket pada 9 Mei lalu.

Piket yang disertai ratusan anggota RUM itu bagi mendesak presiden KTMB Datuk Elias Kadir melepaskan jawatan kerana didakwa menunjukkan prestasi yang kurang cemerlang sepanjang perkhidmatannya.

Tiada ulasan: