*RAMAI murid di dewan peperiksaan pagi itu tersenyum panjang sebaik kertas soalan subjek Ilmu Hisab – sekarang disebut Matematik – diedarkan. Seminggu sebelum hari peperiksaan mereka sudah diberitahu mengenai soalan-soalan tersebut.

Tepat seperti yang dixerox oleh seorang guru, soalan yang diberitahu seminggu lalu, keluar sebiji-sebiji. Peperiksaan belum bermula, soalan sudah diketahui siang-siang, dan tersebar dari xerox ke xerox.

Seyogia diingat itu terjadi pada tahun 1969, ketika saya dan kira-kira 60 murid lain menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah kampung di Muar, Johor.

Ertinya, 45 tahun dahulu – atau mungkin lebih awal dari itu – sudah ada soalan bocor...

*MAKA, apa yang hendak dihairan dan dihebohkan sangat apabila dua tiga hari lalu terjadi lagi kebocoran untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)?

Mula-mula diberitahu kertas soalan untuk subjek Sains, telah bocor. Kemudian disahkan oleh Kementerian Pendidikan bahawa kertas subjek Bahasa Inggeris 1 dan 2, juga bocor.

Mangsa kebocoran tersebut ialah 472,853 murid tahun 6 di seluruh negara yang terpaksa menduduki semula peperiksaan untuk subjek-subjek tersebut pada 30 September.

Maka bertambahlan tekanan ke atas murid-murid berkenaan. Sepatutnya sudah boleh bercuti, tiba-tiba terpaksa bertungkus-lumus lagi untuk menjawab soalan. Tidak kurang tertekan dan ditekan ialah ibu kanak-kanak berkenaan. Lagi-lagi bocor!

*BOCOR dulu-dulu berbeza dengan bocor sekarang. Setengah abad dulu, teknologi tidaklah canggih. Kalau ada soalan bocor – untuk SRP, SPM, STPM dan lain-lain peperiksaan penting – kebocoran itu hanyalah dari mulut ke mulut, atau paling hebat pun melalui edaran salinan xerox.

Hari ini kita berada dalam kecanggihan ICT dan kehebatan dunia siber. Orang tidak perlu beratur panjang di kedai fotostat untuk menyalin soalan. Juga tidak perlu lagi menelefon seorang demi seorang untuk menyebarkan kebocoran.

Kini dengan menggunakan media sosial, sms, dan sebagainya, benda-benda bocor itu boleh diedarkan hanya menggunakan hujung jari. Bukan kepada seorang, malah kepada beribu-ribu orang, dalam sekelip mata.

Agaknya kebocoran luar biasa yang dilambakkan menerusi alam maya itulah menyebabkan tahun ini ia heboh ‘satu Malaya’, gamat bagaikan ledakan tsunami.

Daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pak-pak menteri, dan member teh tarik di gerai tepi longkang, semua bersemangat dan marah-marah sebab kebocoran.

Tetapi ramai juga yang buat ‘dhek’ sebab soalan bocor ini telah terjadi setiap tahun sejak lebih 50 tahun dulu. Pendek kata, perihal kebocoran tidak ada apa yang menghairankan.

*ADA pun yang menghairankan – sebenarnya amat menghairankan! – ialah kenapa sejak zaman saya sekolah hingga sekarang isu kertas soalan bocor masih tidak dapat diatasi?

Perkara yang sama berulang hampir setiap tahun. Setiap kali bocor, kerajaan akan siasat. Lembaga Peperiksaan menubuhkan jawatankuasa penyiasat. Selalu umum bertanya, apa sebenarnya yang disiasat?

Lebih penting lagi, apa hasil siasatan? Apa tindakan yang dikenakan ke atas mereka yang terlibat, kalau ada. Dengan begitu banyak jawatankuasa penyiasat, berapa ramai telah diambil tindakan? Berapa ramai kena buang kerja? Berapa ramai masuk
penjara?

Dalam kes terbaharu seorang guru di Johor telah ditahan polis kerana disyaki bertanggungjawab membocorkan kertas soalan UPSR. Harap-harap siasatan ini akan betul-betul membongkar kebocoran yang telah lama berlaku.

Kalau ikut kata-kata Muhyiddin dia mahu perkara ini disiasat hingga ke akar umbi, hingga ke lubang cacing. Pada saya siasat hingga ke lubang cacing pun bukan perkara luar biasa di tempat kita.

Setiap kali ada yang tidak betul selalu ada seruan supaya ‘siasat hingga ke lubang cacing’. Banyak sudah lubang cacing kita siasat, tetapi tidak pernah dapat cacing. Agaknya kita hanya berjaya mengesan tahi cacing.

*AKHIR kalam, perihal soalan Ilmu Hisab yang bocor semasa saya mengambil SPM, saya hanya dapat markah D. Bukan sebab saya tidak dapat soalan xerox itu, tetapi sebab saya memang lemah subjek tersebut.

Kalau soalan itu bocor setahun sebelum peperiksaan pun saya tidak akan dapat A. Dulu dan kini Ilmu Hisab saya memang teruk.