Ahad, 7 September 2014

Bentang laporan kewangan MAS di Parlimen – Nurul Izzah

Oleh Fiza Abd Halim


KUALA LUMPUR  Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izaah Anwar menuntut kerajaan membuat penjelasan terperinci dan membentangkan laporan kewangan Malaysian Airlines (MAS) termasuk keuntungan atau kerugian operasi daripada tahun 2008 sehingga ke hari ini kepada Parlimen bagi memastikan tiadanya tanda tanya dalam perakaunan MAS.

Beliau mahu satu firma audit forensik antarabangsa yang bebas dilantik untuk menyediakan laporan audit forensik bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan rakyat berhubung kegagalan MAS mencatat keuntungan selepas beberapa percubaan penyuntikan dana.

Izzah“Kerajaan bertanggungjawab
mendedahkan kandungan perjanjian dengan syarikat-syarikat pembekal termasuk Brahim’s Holdings Bhd untuk diaudit, dalam menentukan samada perjanjian tersebut adalah adil bagi semua pihak yang terlibat.

“Menurut laporan, MAS boleh menjimatkan sehingga RM300 juta setahun sekiranya perjanjian-perjanjian ini ditamatkan,” katanya dalam kenyataan.

Kontrak penyajian makanan MAS diberikan kepada Brahim’s Holding Bhd yang dikatakan syarikat milik Datuk Ibrahim Ahmad Badawi, syarikat tersebut diberikan kontrak selama 25 tahun yang bernilai RM6.25 bilion. Ibrahim juga merupakan abang kepada mantan Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Badawi.

Menurut Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, penstrukturan semula buat kali ketiga ini perlu memberi justifikasi kepada tuntutan ketelusan awam supaya prestasi setiap ahli lembaga pengarah MAS diaudit bagi memastikan kejayaan syarikat penerbangan nasional pada masa akan datang.

“Pihak pengurusan MAS juga harus dipertanggungjawabkan ke atas nasib para pekerja yang bakal terkesan akibat kegagalan ini. Nasib mereka tidak dibela dengan adil dan telus,” tambah beliau.

Sebelum ini, akhbar The Star melaporkan 6000 kakitangan MAS bakal kehilangan mata pencarian sebaik sahaja skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) dilaksana. Namun pada masa sama tidak ada sebarang kenyataan berkenaan status pengurusan peringkat tinggi.

Perancangan untuk cuba memulihkan MAS melalui penyuntikan dana RM6 bilion dan pembungan pekerja membawa persepsi bahawa kepentingan kakitangan tidak dibela.

Skim VSS adalah penamatan kontrak perkhidmatan akibat penutupan syarikat dan berlebihan pekerja. Keadaan berlebihan pekerja yang boleh timbul adalah berikutan daripada beberapa sebab seperti penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi, pengambilalihan syarikat dan lain-lain.

Tiada ulasan: