Isnin, 15 September 2014

Belanja kebajikan bertambah tapi rizab meningkat RM3.35b

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Rizab Negeri Selangor terus meningkat kepada lebih RM3.35 bilion walaupun perbelanjaan yang diperuntuk bagi pelbagai program kebajikan bertambah.

Antaranya ialah Pemberian Air Percuma, Tabung Anak Selangor (Tawas), Wang Hadiah Masuk Universiti, khairat kematian, Jom ‘Shoping’, pinjaman tanpa faedah untuk memulakan perniagaan bagi penduduk bandar dan desa, rawatan kesihatan percuma dan lain-lain.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lebih 3.5 juta penduduk Selangor mendapat faedah daripada program berkenaan, lapor Selangor Kini.

“Sejak agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dilancarkan pada Jun 2008, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM1.63 bilion untuk membiayai program kebajikan,” katanya pada Pesta Tanglung Peringkat Selangor 2014 di Chempaka Buddhist Lodge, Petaling Jaya, malam tadi.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad.

Mengenai sambutan Pesta Tanglung, beliau berkata kerajaan negeri bercadang ia dijadikan produk tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Selangor 2015.

Justeru itu, Khalid berharap masyarakat Cina di negeri itu memberi cadangan bagi menjayakan rancangan terbabit.

Tiada ulasan: