Isnin, 8 September 2014

Azmin: Bertenang, jangan keruhkan politik S'gor

MALAYSIAKINI



 
 
 
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyeru semua pemimpin dan anggota PKR bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan suasana politik khusus berkaitan kemelut menteri besar Selangor.

Beliau mengakui parti itu sedang berdepan "sedikit kesukaran" tetapi yakin kepimpinan parti mampu mengatasinya berdasarkan pengalaman dan semangat muafakat dalam Pakatan Rakyat.

"PKR komited dengan Pakatan Rakyat. Perpaduan Pakatan perlu diperkukuhkan.

"Justeru itu, saya berharap pimpinan dan anggota tidak melatah, sebaliknya sentiasa berhemah, tenang dan berhikmah dalam semua keadaan.

"Insya-Allah kita akan menggunakan kebijaksanaan untuk menjernihkan kekeruhan sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Pagi ini Istana Selangor menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan nama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai "engkar" kepada titah Sultan yang meminta mereka mencalonkan lebih daripada dua nama sebagai calon MB.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata istana menganggap perbuatan kedua-dua parti itu sebagai "menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja" dan "merupakan perbuatan derhaka" kepada baginda.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga MP Gombak menegaskan dasar parti yang mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi salah satu tunggak kerajaan.

"Saya yakin kita akan keluar dari kemelut sekarang dan kita perlu menggilap iltizam dan azam untuk maju ke hadapan dan membangunkan Selangor dan menjaga kepentingan rakyat jelata," katanya.
 

Tiada ulasan: