Analisis
 
 
 
PERSOALAN sama ada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal ataupun tidak telah terjawab, beliau sudahpun menghadap Sultan Selangor pada 27 Ogos lalu untuk meletakkan jawatan.

Walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan peletakan jawatan tersebut, rakyat Selangor sudah diberi mesej jelas, Abdul Khalid tetap akan berundur dari kerusinya dan negeri ini bakal menerima menteri besar yang baharu.

Namun apa yang menarik, ketika pertemuan Abdul Khalid dengan sultan, baginda mahu setiap parti dalam PR menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon menteri besar untuk dipilih.

Titah tuanku itu menunjukkan baginda masih mahu mengkaji terlebih dahulu siapa calon-calon yang dikehendaki dan difikirkan layak sama ada dari PKR, DAP atau Pas yang akan dilantik sebagai menteri besar selain yang telah diputuskan PR.

Secara tidak langsung, titah itu juga menunjukkan bahawa tuanku mahukan peralihan kuasa dilakukan secara demokrasi dan telus tanpa sebarang desakan dari mana-mana pihak.

Persoalannya, siapa? Sehingga hari ini jawapan itu masih lagi samar-samar walaupun sebelum ini PR sebulat suara menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.

Dengan arahan sekurang-kurangnya dua nama diperlukan itu, siapakah calon-calon diisi setiap parti komponen PR?

Rabu lalu, pihak istana mengesahkan bahawa sultan telah menerima calon dari ketiga-tiga parti untuk dipilih. Semua sedia maklum bahawa Dr Wan Azizah adalah calon utama terus dikekalkan PR.

Walaupun arahan menetapkan supaya setiap parti memberi lebih dari satu nama, namun, PKR masih dengan keputusan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Ini dibuktikan dengan surat balas dari Istana yang diberikan kepada PKR kelmarin, yang menggesa parti itu menghantar lagi nama selain Dr Wan Azizah. Difahamkan, keputusan berhubung perkara itu telah diputuskan PKR dalam mesyuarat parti itu petang semalam.

Bagaimana pula dengan Pas? Siapa calon yang dipilih Pas untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor?

Terdapat spekulasi yang mendakwa Pas turut menghantar nama pemimpin mereka untuk menjadi menteri besar. Dakwaan ini dikuatkan lagi dengan laporan portal yang mengatakan Pas menghantar satu nama pemimpin parti itu selain dua nama calon dari PKR. Ada pula yang mendakwa Pas menghantar tiga nama pemimpin mereka.

Antara nama pemimpin Pas yang paling kerap disebut-sebut sebagai calon ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad yang berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri sejak 2008. Selain beliau, dua exco lain iaitu Dr Ahmad Yunus Hairi dan Salehen Muhyi turut diramal mampu menggalas tugas itu jika dipilih sultan.

Namun, Iskandar ketika ditemui Sinar Harian menafikan namanya dicalonkan Pas Pusat sebagai salah seorang calon menteri besar, seperti yang dicanangkan.

“Saya tak fikir (dicalonkan). Saya pun tak tahu apa yang berlaku sekarang ini,” itu penegasan Iskandar, malah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar itu juga memaklumkan beliau tidak tahu menahu langsung maklumat berhubung nama calon ataupun bilangan sebenar calon yang dihantar.

Persoalan sama ada Pas berpeluang menjadi menteri besar masih sukar untuk dipastikan, ini kerana Pas masih lagi enggan mengesahkan bahawa mereka bersedia merebut jawatan itu dari rakan PR.

Sebelum ini, Pensyarah Geo-Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali ada menyebut, Pas perlu berani ke hadapan supaya dapat membuktikan mereka adalah parti yang dinamik dan berkebolehan, bukan sekadar arif dalam urusan agama.

“Setakat ini, rekod panjang Pas hanya sebagai menteri besar di Kelantan, negeri yang 90 peratus orang Melayu. Mengapa tidak ambil peluang tunjukkan mereka juga boleh tadbir negeri pelbagai bangsa, negeri yang menjadi pusat tumpuan negara?" Itu pandangan beliau terhadap kredibiliti Pas sebagai sebuah parti politik.

Mohd Fuad akui tidak hairan jika ‘kedegilan’ PKR dan DAP yang bertegas dengan mencalonkan Dr Wan Azizah mungkin menyebabkan Sultan Selangor memilih menteri besar daripada Pas, jika Pas berani ‘menentang arus yang ditetapkan rakan sekutu’.

Namun apa yang pasti, perkembangan terbaru ini membuka jalan baharu kepada krisis ini dan memberi harapan kepada ahli Pas di akar umbi bahawa pemimpin mereka ada potensi akan dipilih sultan.

Jika nama pemimpin diletakkan dalam senarai calon, peratusan dipilih sultan dilihat lebih tinggi berbanding Dr Wan Azizah kerana hubungan Pas Selangor dengan istana yang baik. Bagaimanapun, semua ini tertakluk kepada budi bicara tuanku yang lebih arif memilih calon menteri besar untuk mentadbir negeri ini.

Apa yang pasti, perebutan jawatan ini akan kembali berlarutan jika Pas dipilih menjadi menteri besar dan kesannya lebih kepada PR berbanding perebutan jawatan dengan Abdul Khalid.