Jumaat, 5 September 2014

Aset pegawai kastam, ahli sindiket dirampas


SPRM SPRM
 
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak  membekukan 207 akaun bank berjumlah RM6 juta milik pegawai kastam dan ahli sindiket penyeludupan rokok serta arak yang ditahan kelmarin.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya turut menyita 10 buah kenderaan mewah, beberapa buah gudang serta unit rumah kedai termasuk wang tunai RM3 juta.

Setakat semalam, katanya, seramai 24 individu berusia 36 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi terbabit yang mana satu tangkapan dibuat di Ipoh, Perak.

“Mereka yang ditangkap terdiri daripada 12 anggota kastam pelbagai pangkat serta 12 individu dipercayai sindiket yang terlibat dengan penyeludupan rokok dan arak secara haram dan kesemua mereka direman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, Kuala Lumpur, semalam.

Difahamkan, penyeludupan keluar rokok serta arak dari Zon Perdagangan Bebas Cukai (PKFZ) di Pelabuhan Klang menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM1.2 bilion.

Perkara ini terbongkar setelah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat pemeriksaan ke atas nilai rokok dan arak masuk ke dalam PKFZ sejak 2011 dengan jumlah keseluruhan RM1.6 bilion.

“Daripada jumlah itu, hanya RM400 juta arak dan rokok sahaja yang diisytihar keluar daripada PKFZ sejak 2011,” katanya.

Menurutnya, arak serta rokok yang dikenalpasti diseludup daripada negara Sweden, Scotland, India dan beberapa negara lain.

Susulan itu, pihaknya menubuhkan sebuah Taskforce yang diketuai SPRM dan terdiri daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan lain-lain lagi dengan kekuatan 200 anggota
dan membuat operasi secara besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, operasi ini turut mendapat kerjasama daripada Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad yang mahu membanteras aktiviti ketirisan di kalangan anggota kastam secara habis-habisan.

Katanya, operasi ini dijalankan secara berterusan dan menjangkakan akan ada beberapa tangkapan lain yang akan dibuat berdasarkan siasatan lanjut.

Tiada ulasan: