Selasa, 2 September 2014

ADUN DAP Rayer ditangkap bawah Akta Pertubuhan

MALAYSIAKINI


 


ADUN DAP Seri Delima, RSN Rayer ditahan di bawah Akta Pertubuhan hari ini, dan sedang berada di ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Pattani.

Rayer berkata, polis memintanya memberi keterangan pada kira-kira jam 3 petang dan kemudian diberitahu mengenai tangkapan tersebut.

"Saya hanya diberitahu bahawa ia di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan, 1966," katanya sambil menambah mereka juga memberitahunya yang beliau perlu tinggal semalaman di ibu pejabat polis itu.

Penahanan Rayer itu dibuat selepas 156 anggota Unit Sukarela peronda (PPS) ditahan setelah menyertai perarakan sambutan Hari Kemerdekaan semalam.

Antara mereka yang ditahan adalah exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh (kanan) yang juga pengerusi PPS.

Rayer, merupakan salah seorang peguam bagi kumpulan tersebut, yang kini dibebaskan secara berperingkat, selepas polis gagal mendapatkan perintah tahanan reman empat hari terhadap mereka.

Mereka ditahan selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengisytiharkan PPS haram kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Minggu lepas Rayer berdepan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan perkataan "celaka" kepada tiga pemimpin Umno.

Rayer didakwa di mahkamah sesyen di Pulau Pinang hari ini di bawah Seksyen 4(1)(b) kerana mengeluarkan perkataan itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada jam 9.30 pagi 20 Mei.

Wakil rakyat DAP itu turut dituduh mengucapkan perkataan itu dalam satu ceramah dua hari kemudian, semasa pilihan raya kecil Bukit Gelugor.


Ketika ditemui di luar pintu pagar ibu pejabat polis, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, OPS George Town Mior Faridalatrash Wahid telah mengesahkan tangkapan tersebut.

"Mior berkata Rayer adalah tangkapan terakhir tapi kita tak tahu lah," katanya.

Tiada ulasan: