Jumaat, 5 September 2014

207 Akaun RM6 Juta Dibeku, 10 Kereta Mewah Disita - SPRM

Oleh: SURYATI MOHD NOR 
 
 
Antara kenderaan mewah milik suspek yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan arak yang disita SPRM.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM6 juta wang simpanan dalam 207 akaun milik 24 individu yang disyaki dalang kegiatan sindiket penyeludupan rokok dan arak dibekukan serta merta.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM4 juta milik 12 pegawai Jabatan kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk seorang pengarah Kastam negeri, manakala selebihnya dikesan dalam akaun pemilik syarikat yang juga anggota sindiket yang terbabit dalam transaksi rasuah untuk mengelak membayar cukai.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, selain membekukan akaun dalang kegiatan itu, harta mereka turut disita.

"Pelbagai harga alih dan tidak alih milik pegawai Kastam dan anggota sindiket juga disita, iaitu 10 kenderaan mewah, sebuah lot rumah kedai dan wang tunai berjumlah RM3 juta.

"Pihak kami percaya, kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat berdasarkan bukti siasatan," katanya pada sidang media khas di Kompleks SPRM Kuala Lumpur, Khamis.

Operasi besar-besaran yang diketuai SPRM menahan 22 individu pada Rabu dan susulan itu, dua lagi ahli sindiket ditahan pagi Khamis, menjadikan jumlah keseluruhannya setakat ini, 24 orang.

Sementara itu, Mohd Shukri menjelaskan kerajaan mengalami kerugian antara RM3.6 bilion hingga RM4 billion sejak dari 2011 akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang mengelak membayar cukai.

"Sebanyak RM1.67 billion rokok dan arak dibawa masuk dan pengistiharan yang dibuat hanya RM420 juta, sekali gus nilai yang tidak diisytiharkan adalah RM1.2 billion.

"Tindakan susulan untuk menilai cukai ini sedang dilakukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam melibatkan duti eksais.

"SPRM percaya tangkapan ini telah berjaya menumpaskan dalang yang terbesar dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak yang tidak membayar duti kastam, di pelabuhan utama Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ)," katanya.

Terdahulu, semua 12 pegawai dan anggota Kastam, termasuk seorang pengarah negeri yang ditahan pada Rabu direman tujuh hari untuk siasatan kes berkenaan.

Tiada ulasan: