KL TODAY
SEPANG –
Siasatan berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan
MH17 sehingga kini sudah mencapai tahap 50 peratus berdasarkan bahan
bukti yang diperoleh di kawasan insiden serta keterangan saksi, kata
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau
berkata selain barangan peribadi, pasukan penyiasat antarabangsa telah
pun menemui kokpit pesawat di kawasan ladang penternakan ayam
berdekatan lokasi nahas.
“Siasatan
awal mendapati terdapat kesan tembakan pada kokpit berkenaan namun
pasukan penyiasatan antarabangsa mungkin mengambil masa tiga minggu
lagi untuk mengeluarkan serpihan pesawat itu dari lokasi kejadian,”
katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Ukraine di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Beliau
berkata buat masa ini juga hasil siasatan masih belum menemui baki
mayat mangsa, oleh itu siasatan diperluaskan di kawasan tasik
berdekatan lokasi nahas bagi mencari mayat mangsa yang belum ditemui.
Justeru
itu, katanya, pasukan penyelam terdiri daripada sepuluh orang dari
negara Belanda, Australia dan Malaysia akan menjalankan operasi di
tasik berkenaan.
“Operasi
mencari di tasik telah bermula pada pukul 7.30 pagi tadi waktu
tempatan, namun belum menemui sebarang bukti mahupun mayat mangsa,”
katanya.
Setakat
ini, 62 lagi mayat mangsa belum ditemui sejak pesawat MH17 yang sedang
dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk,
timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lepas.
Ahmad
Zahid berkata pasukan penyiasat antarabangsa hanya diberikan masa sejam
setengah untuk berada di lokasi nahas dan zon siasatan telah
diperluaskan daripada empat zon kepada enam zon.
“Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah cuba memasuki lokasi
nahas tetapi cuma dibenarkan berada sejam setengah dan berada di dalam
lingkungan 20 kilometer sahaja,” katanya.
Sehingga
kini terdapat 87 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)
ditempatkan di Soledar, Ukraine bagi meneruskan misi sisatan.
Mengenai
sama ada jenazah akan dibawa pulang secara berperingkat atau serentak,
beliau menjelaskan perkara itu bergantung kepada keputusan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pesawat
Boeing 777-200 yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal
– dipercayai ditembak jatuh namun setakat ini tiada pihak mengaku
bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
Sebanyak 43 warganegara Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan