Selasa, 19 Ogos 2014

Zahid: Dr M harus beri kesetiaan pada Najib

MALAYSIAKINI



 


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini mengingatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa setiap pemimpin mempunyai eranya yang tersendiri.

Dan sekarang, tambahnya, era Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Zahid berkata, setiap pemimpin mempunyai era yang sesuai pada suatu-suatu masa dan era ini sesuai untuk Najib.

"Saya membaca blog berkenaan dan pada hemat saya, zaman Datuk Seri Najib adalah zaman yang sesuai dengan Datuk Seri Najib. Kerana dulu tidak ada media sosial. Sekarang banyak media sosial dan keadaan itulah harus difahami," katanya kepada pemberita pagi ini.

Zahid yang juga naib presiden Umno berkata, di zaman media sosial pemimpin politik harus membayar harga untuk “era tanpa sempadan”.

Katanya, seperti semua orang, Mahathir harus menghormati pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan menggesa beliau memberikan kesetiaan kepada Najib.

"Komen-komen yang negatif lazimnya merupakan pendapat peribadi yang dikendalikan oleh pemain dan pemuka pada media sosial termasuk Tun Mahathir dan pada zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan, mungkin itulah harga yang perlu dibayar oleh mana-mana pemimpin.

“Ketika beliau (Mahathir) menjadi perdana menteri, beliau menuntut kesetiaan semua pihak. Saya pasti Najib juga menuntut kesetiaan semua pihak,” katanya.

Mahathir semalam menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan “dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding pendahulunya itu.

Tiada ulasan: