Khamis, 7 Ogos 2014

WWW1: Permohonan Utusan, TV3 merayu didengar serentak

BERNAMA


PUTRAJAYA: Permohonan kebenaran merayu oleh Utusan Melayu (M) Bhd dan TV3 terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung saman sivil difailkan terhadap mereka oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan dengar serentak oleh Mahkamah Persekutuan.
  
Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Tan Sri Suriyadi Halim hari ini membenarkan permohonan Utusan Melayu, untuk sama ada kedua-dua dua permohonan kebenaran merayu itu digabungkan atau didengar bersama-sama.
  
Terdahulu, Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan Melayu, memberitahu panel itu bahawa ini bagi memastikan keseragaman keputusan dalam kedua-dua saman itu kerana ia melibatkan tuduhan serupa dan plaintif sama.
  
Beliau berkata peguam mewakili TV3 juga memaklumkan kepadanya bahawa syarikat televisyen itu tidak membantah permohonan Utusan Melayu.
  
Peguam mewakili Mohammad Nizar, Mohammad Zamri Ibrahim berkata beliau tidak membantah permohonan bagi kedua-dua permohonan itu didengar bersama tetapi beliau tidak bersetuju ia digabungkan.
  
Pada 6 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenar saman fitnah Mohammad Nizar terhadap Utusan Melayu dan memberikannya RM250,000 sebagai ganti rugi.
  
Pada 25 Feb tahun ini, satu lagi kuorum Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Perak itu untuk mengetepikan keputusan sebuah lagi Mahkamah Tinggi, yang menolak saman fitnah RM50 juta Mohammad Nizar terhadap TV3 dan penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah.
  
Kuoram Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof  memutuskan terdapat niat jahat dalam laporan stesen televisyen itu yang tidak membuktikan bahawa laporannya itu adalah betul atau separa betul.
  
Mahkamah Rayuan kemudiannya mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.
  
Mohammad Nizar memfailkan saman sivil terhadap Utusan Melayu dan TV3 mendakwa kedua-dua pihak telah memfitnahnya berhubung catatannya dalam Twitter berhubung nombor pendaftaran kenderaan WWW1 yang berjaya dibida Sultan Johor pada Mei 2012. - Bernama

Tiada ulasan: