Sabtu, 23 Ogos 2014

UMNO Kelantan Jangan Ambil Mudah PRK Pengkalan Kubor

RAKYATNEWS


alt
 


KOTA BHARU  - UMNO Kelantan diminta tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sekalipun kawasan itu dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak tiga penggal lalu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan persiapan awal itu bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada BN.

"Segala persiapan untuk menghadapi PRK Pengkalan Kubor perlu dibuat lebih awal kerana kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa 2014 di sini, hari ini.

Ahmad berkata beliau mewakili UMNO merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari Barisan Nasional, yang meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China Rabu lepas.

Jenazah Allahyarham Noor Zahidi dibawa pulang dari Guangzhou hari ini dan dijangka tiba di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat pada malam ini.

"Kami rakamkan ucapan terima kasih di atas jasa-jasa Allahyarham selama ini di peringkat negeri terutamanya kerana Allahyarham merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

"Pengganti beliau (Noor Zahidi) ada tanggungjawab yang besar dan buat masa ini mesyuarat berkenaan calon masih belum dibuat," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Mohamad Mahmud berkata pihaknya akan menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selepas menerima surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub.

Allahyarham yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal meninggal dunia pada jam 5.45 pagi, Rabu.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Tiada ulasan: